HONOLULU: Ribut berganda yang melanda Hawaii sejak minggu lalu telah menyebabkan kerosakan dianggarkan mencecah AS$1 bilion, menurut Gabenor Josh Green.
Dua sistem ribut berturut-turut membawa sehingga 130cm hujan, mencetuskan banjir besar yang menenggelamkan sebahagian kawasan di pulau Oahu dengan air berlumpur.
Gabenor Green berkata lebih 230 orang berjaya diselamatkan, termasuk mereka yang terperangkap di kem dan di kawasan digenangi air.
Beliau turut mengesahkan bahawa setakat ini tiada kematian dilaporkan.
Operasi menyelamat turut melibatkan Pengawal Pantai, yang menarik mangsa hanyut di lautan.
Beliau menambah bahawa White House berhubung rapat dengan pejabatnya dan menyifatkan pegawai persekutuan sebagai “sangat menyokong”.
Pegawai tempatan berkata banjir kali ini adalah yang terburuk sejak tahun 2004.
Beberapa amaran pemindahan dan amaran banjir kilat di Oahu mula ditarik balik pada pagi Ahad waktu tempatan.
Namun, kawasan lain di Hawaii masih berdepan risiko.
Sebahagian Lebuhraya Kuihelani di Maui ditutup sementara akibat arus air deras, namun dibuka semula tidak lama kemudian.
Gabenor Green juga memberi amaran bahawa jumlah kerosakan sebenar masih belum diketahui dan orang ramai diminta berhati-hati.
“Masih banyak kawasan dilanda banjir besar. Jangan memandu merentasi air dalam,” katanya.
Beliau berkata daerah Maui dijangka menerima 20 hingga 25cm hujan tambahan dalam beberapa hari akan datang, dan menasihatkan orang ramai agar tidak berlayar antara pulau sementara ribut masih aktif.
Hawaii National Guard kekal ditempatkan di Empangan Wahiawa berusia 120 tahun untuk memantau paras air selepas kebimbangan empangan itu mungkin melimpah, menyebabkan pemindahan penduduk berhampiran.
Paras air dilaporkan stabil sepanjang hujung minggu.
Mikey, seorang penduduk Wahiawa di Oahu, menceritakan detik cemas apabila air banjir memasuki rumahnya.
“Sekitar 12.30 malam saya terjaga dan lantai sudah basah. Bila saya buka pintu bilik, air terus meluru masuk,” katanya.
Air tersebut merosakkan pagar, pintu, dan memenuhi rumah sehingga paras setinggi dada.
“Kami hilang segalanya,” tambahnya lagi.
Pelakon terkenal Jason Momoa (Game of Thrones, Aquaman) turut berkongsi bahawa keluarganya terpaksa meninggalkan rumah mereka di North Shore Oahu akibat ribut tersebut.
“Kami selamat buat masa ini, tetapi ramai yang tidak. Kirimkan kasih dan doa buat semua,” katanya dalam satu hantaran di Instagram Stories.