Skip to main content

Dunia

Ramaphosa enggan letak jawatan, cabar laporan berkaitan skandal Phala Phala

FILE PHOTO: South African President Cyril Ramaphosa gestures while delivering the keynote address at the Sixth South Africa Investment Conference (SAIC) at the Sandton Convention Centre in Johannesburg, South Africa. March 31, 2026. Jairus Mmutle/GCIS/Handout via REUTERS THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY/File Photo
Ramaphosa berkata beliau akan mencabar secara undang-undang laporan yang membuka laluan kepada Parlimen untuk mempertimbangkan proses pemecatan terhadapnya. - Foto REUTERS

PRETORIA: Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan walaupun berdepan tekanan susulan cadangan pemecatan berhubung skandal kecurian wang tunai di ladang peribadinya.

Sebaliknya, Ramaphosa berkata beliau akan mencabar secara undang-undang laporan yang membuka laluan kepada Parlimen untuk mempertimbangkan proses pemecatan terhadapnya.

“Saya kekal di sini dan tidak akan meletak jawatan,” katanya pada Isnin, menamatkan spekulasi mengenai kedudukannya.

Kontroversi itu berkait dengan skandal Phala Phala, yang melibatkan kecurian sejumlah besar wang tunai yang disembunyikan di dalam perabot di ladang miliknya.

Panel bebas sebelum ini mendapati terdapat bukti awal bahawa Ramaphosa mungkin melakukan salah laku serius dalam mengendalikan kes tersebut.

Namun, beliau menafikan sebarang salah laku dan menegaskan wang itu adalah hasil sah daripada penjualan kerbau melalui perniagaan ladangnya.

Mahkamah Perlembagaan Afrika Selatan minggu lalu memutuskan bahawa Parlimen bertindak tidak mengikut perlembagaan apabila menolak cadangan untuk menubuhkan siasatan pemecatan pada 2022, dan menyatakan isu itu perlu diteliti semula melalui proses rasmi.

Ramaphosa berpendapat laporan berkenaan bergantung kepada keterangan bersifat hearsay dan akan memohon agar ia diketepikan oleh mahkamah.

Sekiranya proses diteruskan, laporan tersebut dijangka menjadi asas kepada usaha pembangkang untuk menyingkirkan beliau daripada jawatan.

Penganalisis politik, Profesor Richard Calland, berkata Ramaphosa berkemungkinan besar akan bertahan dalam undian Parlimen, namun cabaran undang-undang itu dilihat sebagai langkah untuk mengelakkan prosiding pemecatan yang boleh menjejaskan reputasi dan legasinya.
 

 

Must Watch Video