OSLO: Puteri Mahkota Norway, Mette-Marit, akhirnya tampil memberi penjelasan selepas tujuh minggu kontroversi, dengan mengakui beliau berasa “dimanipulasi dan diperdaya” oleh pesalah seks Amerika Syarikat (AS), Jeffrey Epstein.
Dalam wawancara 20 minit bersama penyiar nasional NRK, Mette-Marit, yang kelihatan sebak beberapa kali, berkata beliau amat kesal pernah mengenali Epstein.
“Saya berasa sangat dimanipulasi… Sudah tentu saya berharap saya tidak pernah bertemu dengannya,” katanya.
Pendedahan pada Januari lalu bahawa beliau berbalas ratusan e‑mel dengan Epstein antara 2011 dan 2014, termasuk pernah menginap di rumah Epstein di Florida, mencetuskan tekanan hebat ke atas institusi diraja Norway.
Puteri Mahkota mengakui beliau gagal menyemak latar belakang Epstein dengan teliti dan terlalu mempercayai individu tersebut, walaupun ketika itu Epstein sudah pernah dihukum atas jenayah seksual.
Ketika ditemu bual bersama suaminya, Putera Mahkota Haakon, beliau menegaskan tidak mengetahui sepenuhnya sejarah jenayah Epstein ketika mereka berhubung.
“Saya tidak tahu beliau seorang pesalah seks atau pemangsa,” katanya sambil menambah bahawa beliau menyedari ‘sesuatu yang tidak kena’ pada hari terakhir beliau berada di rumah Epstein dan menghubungi suaminya kerana berasa tidak selamat.
Walaupun begitu, hubungan e‑mel antara mereka berlanjutan selepas insiden tersebut, sesuatu yang kini sangat dikesalinya.
Pakar istana Norway berpendapat wawancara itu menimbulkan lebih banyak persoalan kerana Puteri Mahkota tidak menjelaskan sepenuhnya sifat hubungan tersebut, termasuk mengapa istana dan kementerian luar tidak dimaklumkan.
Kontroversi ini turut menambah beban kepada Mette-Marit, 52, yang bergelut dengan penyakit paru-paru pulmonary fibrosis, ketika rakyat mempertikaikan kemampuannya menggalas peranan ratu suatu hari nanti.
“Saya hidup dengan penyakit serius. Kesihatan sayalah yang menentukan sama ada saya boleh meneruskan tugas ini,” katanya.