TEHRAN: Presiden Iran Masoud Pezeshkian mengutuk keras pembunuhan Ayatollah Ali Khamenei yang disifatkannya sebagai satu jenayah besar, sambil berikrar bahawa tindakan balas setimpal akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Dalam satu kenyataan rasmi daripada pejabatnya, Pezeshkian berkata darah pemimpin tertinggi itu menjadi pemangkin untuk menentang apa yang digambarkan sebagai kezaliman Amerika–Zionis di rantau berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa jenayah tersebut tidak akan dibiarkan tanpa balasan dan bakal membuka lembaran baharu dalam perkembangan dunia Islam, lapor Al Jazeera.
Kerajaan Iran juga menyatakan komitmen untuk menggunakan segala kekuatan yang ada, dengan sokongan negara-negara Islam dan masyarakat antarabangsa yang bersimpati, bagi memastikan dalang serta komander yang mengarahkan serangan itu dipertanggungjawabkan.
Pezeshkian turut menekankan bahawa pengorbanan Khamenei menjadi simbol perjuangan menentang penindasan yang dilakukan musuh Republik Islam itu.
Amaran keras tersebut dikeluarkan ketika ketegangan terus memuncak susulan serangan berterusan oleh tentera Amerika Syarikat dan Israel ke atas wilayah Iran.
Sebagai tanda penghormatan, kerajaan mengumumkan tujuh hari cuti umum dan tempoh berkabung selama 40 hari di seluruh negara bagi membolehkan rakyat memperingati kepimpinan Allahyarham.
Situasi berkenaan terus diperhatikan oleh komuniti antarabangsa memandangkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan menegaskan tekad Iran untuk mempertahankan kedaulatan dan prinsip negara.