PRESIDEN Indonesia, Prabowo Subianto, tiba di Lapangan Terbang Vnukovo-2, Moscow, Rusia pada Isnin, jam 7.45 pagi waktu tempatan bagi memulakan lawatan rasmi ke negara itu.
Memetik Reuters, Menteri Luar Indonesia, Sugiono berkata lawatan itu akan membincangkan potensi pembelian minyak Rusia oleh Indonesia sebagai sumber alternatif susulan kekangan bekalan global akibat konflik melibatkan Iran.
Lawatan tersebut turut mencerminkan komitmen Indonesia untuk terus memperkukuh hubungan dua hala selain memperluas kerjasama strategik dengan Rusia dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.
Sepanjang berada di Moscow, Prabowo dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
BACA: Prabowo berlepas ke Moscow, adakan perbincangan dengan Putin
Ia antara lain bagi membincangkan usaha mempererat hubungan kedua-dua negara serta meneroka peluang kerjasama baharu.
Menerusi lawatan ini, Prabowo diiringi Menteri Luar, Sugiono dan Menteri Tenaga dan Sumber Manusia, Bahlil Lahadalia.
Ini merupakan lawatannya yang ketiga ke negara itu selepas lawatan keduanya pada 10 Disember 2025 dan lawatan pertamanya ke Saint Petersburg pada 18 hingga 20 Jun 2025.