Skip to main content

Dunia

Polis UK tahan tujuh penunjuk perasaan berhampiran pangkalan RAF digunakan AS

An anti-war activist holds a sign against U.S. involvement in the Middle East, during a protest outside RAF Fairford, which hosts United States Air Force (USAF) personnel, amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, in Fairford, Britain, March 7, 2026. REUTERS/Toby Melville
Seorang aktivis antiperang memegang sepanduk membantah penglibatan AS di Asia Barat semasa satu protes di luar Pangkalan RAF Fairford. - Foto REUTERS

LONDON: Polis Britain menahan tujuh individu atas syak wasangka menyokong kumpulan yang diharamkan, Palestine Action, semasa satu protes berhampiran sebuah pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) di timur England yang digunakan oleh tentera Amerika Syarikat (AS).

Lima lelaki dan dua wanita itu ditahan di sebuah kem perhimpunan aman berhampiran Pangkalan Udara RAF Lakenheath pada Ahad, selepas mereka berkumpul bersama aktivis lain bagi membantah dakwaan penggunaan pangkalan tersebut sebagai lokasi berlepas pesawat AS yang terlibat dalam perang antara AS, Israel dan Iran.

Kumpulan penganjur protes, Lakenheath Alliance for Peace, berkata tujuh individu berkenaan ditahan ketika memakai pakaian tertera dengan mesej berbunyi, "Kami menentang pembunuhan beramai-ramai, kami menyokong Palestine Action".

Pihak polis dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kesemua mereka ditahan “atas syak wasangka menyokong pertubuhan yang diharamkan”.

Kerajaan Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri Keir Starmer mengharamkan Palestine Action sebagai organisasi “pengganas” tahun lalu, menjadikan keahlian atau sokongan terhadap kumpulan itu sebagai kesalahan jenayah.

Bagaimanapun, pada Februari lalu, sebuah mahkamah memutuskan bahawa pengharaman tersebut adalah “tidak seimbang” dan melanggar hak kebebasan bersuara.

Kerajaan telah memfailkan rayuan, dan larangan itu masih berkuat kuasa sementara menunggu keputusan mahkamah lanjut.

Menurut kumpulan penganjur protes 'Defend Our Juries', lebih 2,700 individu telah ditahan dan ratusan lagi didakwa di seluruh UK berhubung perhimpunan yang menyokong kumpulan berkenaan sejak larangan itu dikuatkuasakan.

Polis Britain menegaskan mereka bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang “seperti yang berkuat kuasa pada masa ini, bukan seperti yang mungkin berlaku pada masa depan”.

Dalam perkembangan berkaitan, polis turut mengesahkan dua orang penunjuk perasaan ditahan pada Sabtu di lokasi sama dan didakwa menghalang laluan awam.

Ketegangan politik turut tercetus apabila Presiden AS, Donald Trump, mengkritik Kerajaan UK kerana didakwa tidak memberikan sokongan mencukupi dalam perang AS-Israel dengan Iran, sekali gus menjejaskan hubungan tradisional rapat antara kedua-dua negara.

UK sebelum ini membenarkan AS menggunakan pangkalan tentera di Britain bagi melaksanakan operasi yang digambarkan sebagai “bersifat defensif” terhadap Iran, termasuk usaha melindungi Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak dunia semasa waktu aman.

 

Must Watch Video