Skip to main content

Dunia

Polis Sepanyol bertempur dengan aktivis flotila Gaza di Lapangan Terbang Bilbao

OUTRAGEOUS! In front of their families and the entire Basque press, our Flotilla volunteers were attacked by the airport police in Bilbao, Basque Country-Spain, upon returning to their home country. -- X  Thiago Ávila
Rakaman video yang disiarkan media tempatan menunjukkan anggota polis memukul individu yang sudah terbaring di lantai menggunakan belantan. - Foto X/Thiago Avila

BARCELONA: Polis Sepanyol dilaporkan menggunakan kekerasan ketika berdepan dengan sekumpulan aktivis flotila bantuan Gaza yang baru pulang dari Israel serta penyokong mereka di Lapangan Terbang Bilbao.

Menurut laporan agensi berita Jerman (dpa), insiden itu melibatkan sekurang-kurangnya enam aktivis yang dibebaskan oleh Israel selepas kapal mereka dipintas dalam usaha menghantar bantuan ke Gaza.

Rakaman video yang disiarkan media tempatan menunjukkan anggota polis memukul individu yang sudah terbaring di lantai menggunakan belantan, selain menyeret mereka dan menggari tangan dari belakang.

 

 

Media Sepanyol melaporkan kejadian tersebut mengejutkan ramai pihak, memandangkan terdapat sokongan meluas dalam kalangan masyarakat terhadap misi flotila dan rakyat Palestin.

Bagaimanapun, punca sebenar yang mencetuskan tindakan keras pihak polis masih belum jelas.

Pasukan polis wilayah Basque, Ertzaintza, memaklumkan bahawa satu siasatan telah dilancarkan bagi menilai sama ada tindakan anggota mereka mematuhi prosedur yang ditetapkan.

Polis turut mengesahkan bahawa dua aktivis serta dua penyokong telah ditahan atas dakwaan menghalang tugas penguatkuasaan undang-undang. Namun, tiga daripada mereka dibebaskan tidak lama kemudian.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa anggota flotila bantuan, termasuk dari Jerman, mendakwa mereka mengalami penderaan, pemukulan dan layanan kasar ketika ditahan oleh pasukan keselamatan Israel selepas dipintas di perairan antarabangsa.

Kementerian Luar Jerman mengesahkan bahawa terdapat aktivis negara itu yang cedera, dan mengkritik apa yang disifatkan sebagai layanan “menghina” terhadap individu yang ditahan.

Bagaimanapun, Israel menafikan semua dakwaan tersebut.

Flotila berkenaan melibatkan kira-kira 430 aktivis dengan lebih 50 kapal, yang berhasrat memecahkan sekatan laut ke atas Gaza bagi menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk wilayah itu.

Insiden di Bilbao menambah lagi ketegangan susulan kontroversi antarabangsa terhadap tindakan memintas flotila tersebut, selain mencetuskan persoalan mengenai layanan terhadap aktivis kemanusiaan.
 

Must Watch Video

Advertisement