BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul mengarahkan pelaksanaan langkah kecemasan bagi menangani krisis bahan api susulan laporan mengenai pembelian panik yang berlaku di beberapa wilayah.
Anutin, yang juga Menteri Dalam Negeri telah mengarahkan gabenor wilayah dan ketua daerah untuk memantau keadaan dengan teliti serta mengambil tindakan segera sekiranya mengesan sebarang perkara di luar aturan.
"Langkah penguatkuasaan tegas akan dikenakan terhadap aktiviti pengambilan untung berlebihan, penyorokan stok, penetapan harga melampau dan aktiviti haram yang lain," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai Kementerian Dalam Negeri dan gabenor wilayah pada Jumaat.
Beliau menekankan kepentingan komunikasi yang berkesan dan menggesa semua agensi di setiap peringkat untuk menyalurkan maklumat yang tepat serta berterusan kepada orang awam, selain mempromosikan langkah penjimatan tenaga.
Anutin menjelaskan bahawa dalam keadaan normal, permintaan bahan api harian Thailand adalah sekitar 67 juta liter, manakala kilang penapis domestik mampu menghasilkan kira-kira 77 juta liter sehari - menunjukkan bekalan yang mencukupi.
"Bagaimanapun, disebabkan situasi semasa, permintaan telah melonjak kepada 87 juta liter sehari, jauh melebihi kapasiti pengeluaran domestik," katanya.
Ini menurut beliau, merupakan sebab utama kerajaan menarik balik kawalan harga dan melaraskan harga bahan api mengikut mekanisme pasaran bagi mengelakkan kekurangan bekalan serta memastikan pengagihan yang mencukupi di semua wilayah.
"Tugas kerajaan adalah untuk memastikan kestabilan dan meminimumkan impak sebanyak mungkin dengan memberi tumpuan kepada tiga objektif utama: mengekalkan keselamatan tenaga, menguruskan harga barangan, dan melaksanakan langkah fiskal bagi mengurangkan beban rakyat serta perniagaan," katanya.
Pada Khamis, harga semua jenis bahan api di Thailand meningkat sebanyak enam baht (RM0.73) seliter susulan pengurangan subsidi.
Tinjauan di stesen minyak Bangchak Corporation pada Jumaat menunjukkan Gasohol 95 dijual pada harga 41.05 baht (RM5.00) seliter, Gasohol 91 pada 40.68 baht (RM4.96), manakala Diesel B7 berharga 38.94 baht (RM4.75) seliter.
-- BERNAMA