TOKYO: Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi berkata pada Selasa beliau akan mengadakan "perbincangan terbuka" dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berhubung serangan yang dilancarkan oleh AS dan Israel terhadap Iran apabila kedua-dua pemimpin itu bertemu pada sidang kemuncak di Washington lewat bulan ini, lapor Kyodo News.
Semasa sesi jawatankuasa Parlimen, Takaichi yang dijangka bertemu Trump pada 19 Mac di Rumah Putih berkata, kerajaan Jepun "buat masa ini tidak dapat membuat penilaian dari segi undang-undang" berhubung serangan AS dan Israel terhadap Iran yang dilancarkan hujung minggu lepas.
Kerajaan Jepun setakat ini mengelak daripada mengulas sama ada operasi ketenteraan AS-Israel itu melanggar undang-undang antarabangsa, dengan alasan kekurangan "maklumat terperinci", sambil menggesa Tehran mencari "penyelesaian diplomatik" terhadap konflik itu, menghentikan pembangunan senjata nuklear serta menghentikan serangan ke atas negara jiran.
Kestabilan di Asia Barat amat penting bagi Jepun yang secara tradisinya mengekalkan hubungan mesra dengan Iran selain menjadi sekutu rapat AS, memandangkan negara Asia yang kekurangan sumber itu sangat bergantung kepada rantau berkenaan untuk bekalan minyak mentah.
Dalam sesi Diet (Parlimen) itu, Takaichi turut berkata konflik berterusan dijangka tidak memberi kesan segera terhadap harga elektrik dan gas domestik dan kerajaan "belum berada pada tahap membuat keputusan" mengenai penerusan subsidi bil utiliti isi rumah yang akan tamat pada 31 Mac ini.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Kabinet Minoru Kihara berkata kerajaan menasihatkan kapal Jepun agar menjauhi Teluk Parsi susulan gangguan di Selat Hormuz.
Kementerian Pengangkutan turut menasihatkan kapal yang sudah berada di Teluk Parsi agar berlabuh di lokasi selamat, kata Kihara, sambil menjelaskan yang tiada kerosakan dilaporkan melibatkan kapal berkaitan Jepun yang berada di sebelah barat selat itu.
Kerajaan sedang mengesahkan sama ada Selat Hormuz, antara laluan transit minyak paling kritikal di dunia, telah ditutup dan akan terus memantau situasi dengan teliti, katanya.
-- BERNAMA