Skip to main content

Dunia

AS pindah lebih 2,000 anggota marin dari Jepun ke Asia Barat

41619905953_usmarine.jpg
Tentera Amerika Syarikat (AS) telah mula memindahkan sekurang-kurangnya satu kapal serangan amfibia dan lebih 2,000 anggota marin dari Jepun ke Asia Barat susulan peperangan AS-Israel terhadap Iran. - Gambar fail

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) telah mula memindahkan sekurang-kurangnya satu kapal serangan amfibia dan lebih 2,000 anggota marin dari Jepun ke Asia Barat susulan peperangan AS-Israel terhadap Iran, lapor Kyodo News, memetik laporan media utama AS pada Jumaat.

Dengan peperangan yang bakal memasuki minggu ketiga dan Presiden AS Donald Trump berikrar untuk meningkatkan tindakan ketenteraan terhadap Iran, The Wall Street Journal dan Fox News melaporkan bahawa tentera sedang menghantar 31st Marine Expeditionary Unit yang berpangkalan di Okinawa ke rantau tersebut.

Kapal serangan Tripoli, berpangkalan di Sasebo, Nagasaki, di barat daya Jepun, dijangka tiba dalam satu hingga dua minggu, menurut Fox News.

Pemindahan ini, yang mengurangkan kehadiran tentera AS di rantau Indo-Pasifik, berlaku ketika Iran meningkatkan serangan di Selat Hormuz, laluan sempit yang biasanya membawa sekitar 20 peratus daripada minyak mentah dunia.

Tripoli dan dua kapal perang lain membentuk Kumpulan Siap Sedia Marin Amfibia. Laporan itu menyatakan Tripoli, yang dilengkapi jet pejuang F-35, serta satu kapal perang lain dari kumpulan tersebut telah diarahkan ke Asia Barat.

Pemindahan aset tentera AS dari Indo-Pasifik ke Teluk Parsi menimbulkan kebimbangan keselamatan negara dalam kalangan sekutu Amerika di rantau ini.

The Washington Post dan media Korea Selatan sebelum ini melaporkan bahawa tentera AS dijangka memindahkan sebahagian sistem pertahanan misil dari Korea Selatan ke Asia Barat untuk menangani ancaman dari Korea Utara.

Pada Jumaat, Trump memberitahu pemberita, "Ia akan berlangsung selama yang diperlukan," ketika ditanya tentang tempoh peperangan dengan Iran.

Beliau kemudian berkata di media sosial bahawa tentera AS telah memusnahkan sepenuhnya setiap sasaran ketenteraan di Pulau Kharg, Iran, yang menjadi lokasi kebanyakan eksport minyak mentah negara itu.

"Saya telah memilih untuk TIDAK memusnahkan Infrastruktur Minyak di Pulau tersebut. Bagaimanapun, sekiranya Iran, atau sesiapa sahaja, melakukan sesuatu untuk mengganggu Laluan Kapal yang Bebas dan Selamat melalui Selat Hormuz, saya akan segera mempertimbangkan semula keputusan ini," tulis beliau.

Susulan kenaikan harga minyak, pentadbiran Trump mempertimbangkan untuk menggunakan kapal tentera laut AS untuk mengiringi kapal melalui laluan tersebut bagi melindungi mereka daripada serangan.

Sebelum berlepas ke Florida, Trump memberitahu pemberita bahawa beliau menjangkakan tindakan itu akan berlaku “tidak lama lagi”.

-- BERNAMA-KYODO

Must Watch Video