PENERBIT bersama siri terkenal Tehran, Dana Eden, ditemui meninggal dunia di sebuah hotel di Athens pada usia 52 tahun.
Eden yang merupakan rakyat Israel ditemui tidak bernyawa oleh abangnya, pada hujung minggu di hotel selepas gagal dihubungi, lapor The Guardian.
Kematian pemenang Emmy itu disifatkan sebagai momen menyedihkan bagi keluarga, sahabat dan teman kerja, ujar kenyataan yang dikeluarkan Donna and Shula Productions yang didirikan Eden.
Eden meninggal dunia sewaktu siri perisikan yang cukup hit di saluran Apple TV itu sedang dalam penggambaran musim keempat.
Media Israel melaporkan kematian Eden dikaitkan dengan spekulasi ‘pembunuhan terancang’ namun dinafikan pihak berkuasa.
Abang penerbit itu pula ada memberitahu Eden sempat mendapatkan rawatan dan mengambil ubat sebelum kematiannya kerana kurang sihat.
Pihak berkuasa dilaporkan setakat ini mengklasifikasikan kematian Eden sebagai bunuh diri berdasarkan bukti yang ditemui di tempat kejadian termasuk beberapa butir pil.
Tehran dibintangi oleh Niv Sultan sebagai ejen Mossad, Tamar Rabinyan, yang merupakan rakyat Iran dibesarkan di Israel terlibat dalam misi perisikan berkaitan nuklear.
- Artikel asal disiarkan di Gempak.com