Skip to main content

Dunia

Mahkamah tertinggi Republik Congo sahkan pemilihan semula Presiden Nguesso

Denis Sassou Nguesso
Nguesso memenangi pilihan raya dengan 94.90 peratus undi, menewaskan enam calon lain, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Mahkamah Perlembagaan Auguste Iloki. - Gambar AP

KIGALI: Mahkamah Perlembagaan di Republik Congo mengesahkan keputusan Pilihan Raya Presiden bulan ini, sekali gus mengesahkan pemilihan semula penyandang Presiden Denis Sassou Nguesso untuk penggal kelima, lapor Anadolu Ajansi.

Nguesso memenangi pilihan raya dengan 94.90 peratus undi, menewaskan enam calon lain, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Mahkamah Perlembagaan, Auguste Iloki.

Mahkamah menolak permohonan calon Dave Mafoula yang memohon pembatalan pilihan raya 15 Mac dan beliau mempertikaikan keputusan atas dakwaan berlakunya penyelewengan.

Keputusan sementara yang diumumkan pada 17 Mac oleh Menteri Dalam Negeri Raymond Mboulou menunjukkan sedikit perubahan daripada 94.82 peratus.

Kira-kira 2.6 juta rakyat keluar mengundi, mewakili peratusan keluar mengundi melebihi 85 peratus.

Susulan pengesahan itu, Nguesso, 82, akan mengangkat sumpah bagi penggal baharu pada 16 April, menurut pihak berkuasa.

Dua calon utama pembangkang memboikot pilihan raya itu dengan alasan wujudnya amalan tidak adil.

Nguesso pertama kali berkuasa pada 1979, tewas dalam pilihan raya 1992 dan hidup dalam buangan di Perancis sebelum kembali pada 1997 untuk merampas kuasa melalui pemberontakan bersenjata yang menjatuhkan bekas Perdana Menteri Pascal Lissouba.

Sejak itu beliau terus mendominasi politik negara. Bertanding atas tiket Parti Buruh Congo, ini merupakan penggal kelima berturut-turut selepas kemenangan pada 2002, 2009, 2016 dan 2021, di mana beliau memperoleh lebih 88 peratus undi susulan pindaan perlembagaan 2015 yang menetapkan semula had penggal dan menghapuskan had umur presiden.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video