NEW YORK: Kepulan asap menjulang selepas letupan besar dilaporkan pada petang Isnin di kilang penapisan minyak di bandar Port Arthur, Texas, Amerika Syarikat, lapor Xinhua memetik laman web tempatan 12newsnow.com.
Saksi berkata mereka terdengar bunyi letupan kuat yang menggegarkan tingkap kereta manakala seorang penduduk di tempat kejadian melaporkan bau telur busuk yang kuat di kawasan itu.
Satu insiden berlaku di kemudahan Valero, kata Antonio Mitchell daripada Jabatan Bomba Port Arthur.
Sheriff Daerah Jefferson Zena Stephens berkata letupan itu mungkin melibatkan unit pemanas.
Pegawai sedang memantau kualiti udara di kawasan tersebut.
Polis Port Arthur dan jabatan bomba menasihati penduduk berhampiran untuk berlindung namun tetapi tiada arahan berpindah.
Jabatan Pengangkutan Texas turut menggesa pemandu mengelak kawasan berkenaan.
Sementara itu, Jabatan Bomba Port Arthur menasihati penduduk yang tinggal di sebelah barat Port Arthur supaya berlindung berikutan letupan di loji penapisan minyak Valero di bandar itu, lapor FOX 26 Houston.
Penduduk di kawasan sekitar digesa berada di dalam rumah sehingga diberitahu selain memastikan tingkap dan pintu ditutup serta mengikut arahan pegawai tempatan.
Pegawai Port Arthur berkata mungkin terdapat penutupan jalan di dalam dan sekitar kawasan letupan, menurut laporan itu.
-- BERNAMA-XINHUA