Skip to main content

Dunia

Lelaki didakwa paksa isteri adakan hubungan seks dengan lebih 120 lelaki

Exterior view of Angermanlands district court before the the start of the trial in a high-profile case of aggravated procuring where a man is suspected of selling his wife to 120 men, in Harnosand, Sweden, Friday April 10, 2026. (Mats Andersson/TT News Agency via AP)
Pandangan luar Mahkamah Daerah Ångermanland menjelang permulaan perbicaraan kes berprofil tinggi membabitkan tuduhan memperdagangkan isteri di Harnosand, Sweden. - Foto AP

STOCKHOLM: Seorang lelaki Sweden berusia 61 tahun mula dibicarakan pada Jumaat atas dakwaan memaksa isterinya melakukan hubungan seksual dengan lebih 120 lelaki, dalam satu kes yang mengejutkan dan menarik perhatian antarabangsa.

Perbicaraan berlangsung di bandar Harnosand, di pesisir timur Sweden.

Tertuduh dilaporkan kekal tenang tanpa reaksi ketika pertuduhan dibacakan.

Mahkamah kemudian meneruskan prosiding secara tertutup bagi melindungi identiti mangsa, yang tidak dinamakan dan telah bercerai daripada tertuduh.

Menurut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kedudukan rumah ladang mereka yang terpencil berhampiran Kramfors di utara Sweden, selain kamera pengawasan dan dadah, untuk memaksa isterinya memberikan perkhidmatan seksual kepada lelaki-lelaki yang ditemuinya melalui internet.

Pendakwaan mendakwa lelaki-lelaki tersebut datang dari seluruh negara dan melakukan perbuatan itu sebagai pertukaran bayaran, bermula pada tahun 2022.

Bagaimanapun, tertuduh menafikan sebarang salah laku dan mendakwa semua pertemuan tersebut berlaku secara sukarela.

Dia menegaskan peranannya hanya terhad kepada membantu mengatur pertemuan berkenaan.

Kes ini sering dibandingkan dengan perbicaraan di Perancis melibatkan Dominique Pelicot, yang didapati bersalah kerana memberi dadah kepada isterinya sebelum membenarkan lelaki lain merogolnya selama hampir sedekad.

Pendakwa raya memaklumkan bahawa perbuatan tertuduh hanya terhenti selepas mangsa membuat laporan polis pada Oktober 2025.

Awal tahun ini, lelaki tersebut didakwa dengan pelbagai pertuduhan serius, termasuk beberapa pertuduhan rogol, cubaan rogol dan serangan fizikal.

Pendakwaan akan berusaha membuktikan bahawa tertuduh menggunakan dadah untuk memaksa mangsa melampaui batasnya, selain mengekalkan kawalan dengan mengeksploitasi lokasi rumah mereka yang terpencil serta rangkaian sosial mangsa yang terhad.

Pendakwa Ida Annerstedt sebelum ini berkata tertuduh mengambil kesempatan terhadap keadaan mangsa yang sangat terdedah dan ketakutannya untuk membiasakan perbuatan paksaan itu.

Tertuduh juga berdepan dakwaan menggunakan kamera pengawasan di dalam rumah untuk mengawal isterinya, dengan sebahagian rakaman didakwa merakam pertemuan seksual berkenaan dan akan dikemukakan sebagai bukti di mahkamah.

Dokumen pendakwaan turut menyebut ugutan ekstrem, termasuk ancaman untuk membunuh mangsa, menyimbah petrol dan membakarnya, serta memotong jari mangsa.

Pihak berkuasa Sweden telah mengenal pasti kira-kira 120 lelaki yang terlibat, namun setakat ini hanya 28 orang didakwa berkaitan kes tersebut.

Kebanyakan mereka menafikan dakwaan, menyatakan sama ada tidak mengadakan hubungan seksual dengan mangsa atau tidak membuat sebarang bayaran.

Bukti yang bakal dikemukakan termasuk perbualan dalam talian, rekod pembayaran dan catatan kalendar.

Peguam bela tertuduh, Martina Michaelsdotter Olsson, berkata anak guamnya tidak mengakui gambaran kejadian seperti yang dibentangkan oleh pihak pendakwaan.

Perbicaraan ini dijadualkan berlangsung selama 14 hari, dengan perhatian meluas terhadap bagaimana mahkamah akan menilai dakwaan penderaan, paksaan dan eksploitasi terhadap mangsa.
 

Must Watch Video