Skip to main content

Dunia

Laluan kapal berubah tingkat risiko pelanggaran paus di perairan Afrika Selatan

51620378146_WHALE.jpg
Kebanyakan pelanggaran berlaku jauh di laut, menyebabkan bangkai paus tenggelam tanpa dikesan, fenomena yang dikenali sebagai “kematian tersembunyi”. - Gambar hiasan

PRETORIA: Para saintis memberi amaran peningkatan risiko pelanggaran antara paus dan kapal di pesisir barat daya Afrika Selatan susulan perubahan laluan perkapalan global akibat konflik di Asia Barat.

Menurut mereka, kapal-kapal kargo yang sebelum ini melalui laluan Laut Merah dan Terusan Suez kini semakin banyak mengelilingi Tanjung Harapan (Cape of Good Hope) untuk mengelak kawasan konflik, sekali gus meningkatkan trafik di habitat paus.

Perubahan laluan ini mula ketara sejak 2023 selepas insiden rampasan kapal berhampiran Yemen oleh pemberontak Houthi, dan keadaan menjadi semakin buruk susulan konflik berterusan melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran.

Data menunjukkan peningkatan ketara jumlah kapal yang menggunakan laluan tersebut.

Antara Mac hingga April tahun ini, sebanyak 89 kapal komersial dilaporkan melalui Tanjung Harapan, hampir dua kali ganda berbanding tempoh sama pada 2023.

Ketua saintis Unit Paus Universiti Pretoria, Profesor Els Vermeulen, berkata pasukannya telah mengkaji taburan spesies paus di kawasan Western Cape dan memadankannya dengan laluan kapal bagi mengenal pasti zon berisiko tinggi pelanggaran.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan jumlah sebenar paus yang terjejas sukar ditentukan kerana kekurangan data terkini.

Kebanyakan pelanggaran berlaku jauh di laut, menyebabkan bangkai paus tenggelam tanpa dikesan, fenomena yang dikenali sebagai “kematian tersembunyi”.

Vermeulen mencadangkan beberapa langkah mitigasi seperti mengubah sedikit laluan kapal dan mengurangkan kelajuan pelayaran pada waktu tertentu, namun menegaskan lebih banyak data diperlukan sebelum penyelesaian berkesan dapat dilaksanakan.

Pasukan penyelidik bercadang menjalankan kajian sistematik populasi paus di kawasan laut terbuka menggunakan pesawat atau bot, tetapi memerlukan sokongan tambahan untuk melaksanakan usaha tersebut.

Menurut Vermeulen, terdapat minat tinggi dalam kalangan komuniti antarabangsa untuk menangani isu ini, namun tanggungjawab kini terletak pada komuniti saintifik untuk menyediakan data yang tepat bagi melindungi hidupan marin tersebut.
 

 

Must Watch Video