Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Ribuan komando udara AS tiba, penempatan ketenteraan terbesar

Two F/A-18 Super Hornets launch from the flight deck of the U.S. Navy Nimitz-class aircraft carrier USS Abraham Lincoln in support of the Operation Epic Fury attack on Iran from an undisclosed location March 3, 2026. U.S. Navy/Handout via REUTERS/File Photo Purchase Licensing Rights
Dua pesawat F/A‑18 Super Hornet berlepas dari geladak kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln milik Tentera Laut Amerika Syarikat bagi menyokong operasi serangan Operation Epic Fury ke atas Iran dari lokasi yang tidak didedahkan pada 3 Mac 2026. - Gambar edaran Tentera Laut AS melalui Reuters

WASHINGTON: Ribuan anggota elit 82nd Airborne Division Tentera Darat Amerika Syarikat (AS) dilapor tiba di Asia Barat ketika Washington meningkatkan lagi kekuatan tenteranya susulan perang berlarutan dengan Iran. 

Pegawai AS mengesahkan kepada Reuters bahawa penempatan ini merupakan sebahagian daripada langkah memperluas kapasiti operasi di rantau yang semakin tegang.

Ketibaan pasukan payung terjun dari Fort Bragg, North Carolina, menambah kepada ribuan anggota Marin, pelaut dan pasukan Operasi Khas yang sudah berada di kawasan konflik sejak beberapa minggu lalu.

Menurut laporan, kira-kira 2,500 anggota Marin turut tiba pada hujung minggu lalu, menjadikan penambahan ketenteraan kali ini antara yang terbesar dalam tempoh lebih 20 tahun.

Walaupun penempatan tentera terus ditingkatkan, pegawai AS menjelaskan bahawa tiada keputusan dibuat untuk menghantar tentera memasuki wilayah Iran.

Bagaimanapun, mereka berkata langkah ini dilihat sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan jika konflik terus berlanjutan.

Penambahan anggota kali ini merangkumi elemen markas 82nd Airborne Division, unit logistik, sokongan serta sebuah brigade combat team - keseluruhannya meningkatkan keupayaan AS melancarkan operasi berskala besar jika diarahkan.

Pada masa sama, pentadbiran Presiden Donald Trump dilaporkan sedang menilai beberapa pilihan operasi ketenteraan. 

Antara yang dipertimbang ialah merampas Pulau Kharg, pusat eksport utama minyak Iran yang mengendalikan hampir 90 peratus penghantaran negara itu. 

Washington turut meneliti kemungkinan melancarkan operasi untuk mengambil uranium diperkaya dari fasiliti bawah tanah Iran — tindakan yang berisiko kerana boleh meletakkan tentera AS dalam kedudukan terdedah kepada serangan peluru berpandu dan dron. 

Selain itu, AS juga mempertimbang penempatan pasukan darat untuk mengamankan laluan kapal minyak di Selat Hormuz, yang terus menjadi titik strategik dalam perang ini. 

Laluan tersebut kekal penting bagi perdagangan minyak global, namun terganggu sejak konflik tercetus pada 28 Februari.

Trump sebelum ini mendakwa sedang berunding dengan “rejim yang lebih munasabah” di Iran, namun dalam masa sama mengulangi amaran keras supaya Tehran membuka semula Selat Hormuz atau berdepan serangan ke atas telaga minyak, loji tenaga dan Pulau Kharg.

Kenyataan bercampur antara diplomasi dan ancaman itu menimbulkan persoalan mengenai hala tuju sebenar dasar AS, terutama ketika Tehran menegaskan tiada rundingan langsung sedang berlangsung.

Pemerhati antarabangsa melihat perkembangan ini sebagai strategi Washington untuk memastikan ia mempunyai lebih banyak pilihan ketenteraan sambil menekan Iran dari segi diplomatik dan ekonomi. 

Dengan ketibaan kumpulan terbaharu itu, jumlah keseluruhan anggota tentera AS di Asia Barat kini mencecah puluhan ribu, menjadikannya antara penempatan terbesar sejak awal 2000.

Langkah ini dijangka terus mencorakkan dinamik perang yang masih jauh daripada penyelesaian. - Agensi

Must Watch Video