Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Qatar, Jordan dan Mesir kecam serangan Israel di selatan Syria

A family originally from Syria, displaced from the southern suburbs of Beirut, sits along a seaside corniche, following renewed hostilities between Hezbollah and Israel amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, in Beirut, Lebanon, March 4, 2026. REUTERS/Claudia Greco
Sebuah keluarga dari Syria terpaksa melarikan diri ke selatan Beirut susulan ketegangan antara Hezbollah dan Israel di tengah konflik AS-Israel dengan Iran. - Foto REUTERS

DOHA: Qatar, Jordan dan Mesir menyatakan kecaman keras terhadap serangan Israel yang menyasarkan infrastruktur ketenteraan di selatan Syria, yang dianggap sebagai pelanggaran jelas terhadap kedaulatan negara itu serta undang‑undang antarabangsa.

Dalam kenyataan rasmi, Kementerian Luar Qatar menyifatkan serangan itu sebagai “pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatannya serta pencabulan undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu”.

Doha turut menegaskan bahawa tindakan ketenteraan tanpa kawalan sedemikian semakin melemahkan asas keselamatan serantau dan memburukkan lagi krisis di Asia Barat.

Jordan turut mengutuk serangan tersebut, yang menurut tentera Israel dilakukan sebagai tindak balas terhadap apa yang digelar serangan pihak berkuasa Syria ke atas penduduk Druze di wilayah Suwayda.

Kenyataan Kementerian Luar Jordan menyifatkan tindakan itu sebagai eskalasi berbahaya yang mencabuli kedaulatan Syria serta melanggar undang-undang antarabangsa.

Sementara itu, Mesir mengecam siri serangan udara Israel di Syria yang menurut Kaherah turut mencetuskan peningkatan ketegangan serantau, terutama ketika wilayah Suwayda berdepan konflik antara tentera kerajaan Syria dan kumpulan Druze tempatan.

Mesir memberi amaran bahawa tindakan Israel itu menjejaskan kestabilan serantau dan mengulangi gesaan supaya semua pihak menghentikan serangan serta mematuhi undang-undang antarabangsa.

Serangan Israel di selatan Syria itu menambah tekanan terhadap keselamatan wilayah berkenaan, sekali gus membuka ruang kepada kebimbangan baharu mengenai risiko konflik yang lebih meluas di rantau tersebut.

 

Must Watch Video