WASHINGTON: Sekutu Amerika Syarikat (AS) di rantau Teluk diketuai Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan menggesa Presiden AS, Donald Trump supaya meneruskan serangan tentera terhadap Iran, dengan alasan kempen pengeboman selama sebulan masih belum cukup melemahkan kepimpinan Tehran.
Menurut pegawai AS, negara-negara Teluk dan Israel kini melihat konflik berkenaan sebagai peluang bersejarah untuk melumpuhkan pemerintahan ulama Iran secara menyeluruh.
Desakan itu menandakan perubahan pendirian ketara, selepas pada peringkat awal perang, negara‑negara Teluk menyuarakan rasa tidak puas hati kerana tidak dimaklumkan lebih awal mengenai serangan AS‑Israel, selain memberi amaran konflik itu boleh membawa kesan buruk kepada kestabilan serantau.
Pegawai yang tidak dinamakan berkata, wakil Arab Saudi, UAE, Kuwait dan Bahrain telah menyampaikan secara tertutup kepada White House bahawa mereka tidak mahu operasi ketenteraan dihentikan selagi tidak berlaku perubahan signifikan dalam kepimpinan Iran, atau perubahan dramatik dalam tingkah laku Tehran.
Desakan itu muncul ketika Trump dilihat berubah‑ubah pendirian, antara mendakwa kepimpinan Iran kini hampir tunduk kepada rundingan dan mengancam untuk meningkatkan eskalasi ketenteraan jika perjanjian tidak dicapai segera.
Walaupun berdepan kesukaran meraih sokongan awam di AS bagi konflik yang telah mengorbankan lebih 3,000 nyawa di seluruh Asia Barat serta menggoncang ekonomi global, Trump kelihatan semakin yakin akan sokongan sekutunya di rantau itu.
“Arab Saudi sedang melawan. Qatar melawan. UAE melawan. Kuwait melawan. Bahrain melawan. Mereka semua melawan,” kata Trump kepada pemberita di atas Air Force One, pada Ahad lalu.
Walaupun negara‑negara Teluk menempatkan pangkalan tentera AS yang digunakan untuk serangan ke atas Iran, mereka tidak terlibat secara langsung dalam serangan.
Seorang diplomat rantau Teluk memberitahu, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan negara serantau, namun Arab Saudi dan UAE memimpin usaha meningkatkan tekanan ketenteraan ke atas Iran.
Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, dilaporkan memberitahu pegawai White House bahawa melemahkan keupayaan ketenteraan dan kepimpinan ulama Iran adalah kepentingan jangka panjang rantau Teluk dan dunia.
Namun setakat ini, Trump belum memanggil negara Teluk untuk menyertai operasi serangan secara terbuka.
Penganalisis bimbang penglibatan lebih banyak negara dalam ruang udara konflik akan merumitkan operasi ketenteraan, selain faktor diplomatik, di mana hanya UAE dan Bahrain mempunyai hubungan rasmi dengan Israel.
Pengarah Projek Teluk dan Semenanjung Arab International Crisis Group, Yasmine Farouk, menyifatkan faktor itu sebagai elemen utama yang menambah kerumitan dalam pertimbangan strategik negara Teluk. - Agensi