PARIS: Sebuah kapal kontena milik syarikat Perancis dan sebuah lagi kapal milik Jepun merupakan antara beberapa buah kapal yang berjaya melintasi Selat Hormuz yang dilanda konflik, menurut data penjejakan maritim pada Jumaat (3 April).
Laluan tersebut, yang merupakan laluan maritim penting bagi pengangkutan minyak dan gas asli cecair (LNG), hampir sepenuhnya disekat oleh Iran sejak bermulanya perang.
Bagaimanapun, kedua-dua kapal itu berjaya membuat lintasan pada Khamis, menurut laman web syarikat penjejakan kapal Marine Traffic.
Data Marine Traffic menunjukkan kapal Kribi berbendera Malta milik kumpulan pengangkutan maritim Perancis, CMA CGM, melintasi selat itu untuk keluar dari Teluk pada petang Khamis.
Menjelang awal Jumaat, kapal itu dikesan berada di perairan Muscat, Oman, dan masih memaparkan mesej “owner France” pada sistem transpondernya, di ruangan yang biasanya digunakan untuk menyatakan destinasi.
Data navigasi kapal itu turut menunjukkan ia melalui laluan yang diluluskan Iran merentasi perairannya, yang digelar “Tehran Toll Booth” oleh jurnal perkapalan terkemuka, Lloyd’s List.
Laluan Selatan
Selain itu, tiga buah kapal tangki — termasuk sebuah yang dimiliki bersama oleh syarikat Jepun melintasi Selat Hormuz pada Khamis melalui laluan alternatif di selatan.
Kapal-kapal tersebut belayar rapat dengan pantai Semenanjung Musandam di Oman — kali pertama dalam hampir tiga minggu, menurut Lloyd’s List.
Sebelum perang yang bermula lebih sebulan lalu, kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dan LNG global melalui Selat Hormuz.
Ketiga-tiga kapal itu menyiarkan mesej “OMANI SHIP” melalui sistem transponder mereka ketika melintasi selat berkenaan.
Kapal Sohar LNG, yang melintas dalam keadaan kosong, dimiliki bersama oleh syarikat perkapalan Jepun, Mitsui OSK.
Ini menjadikannya kapal Jepun pertama yang keluar dari Teluk sejak bermulanya perang, menurut kenyataan syarikat yang dipetik media Jepun.
Sementara itu, kapal New Vision berbendera Hong Kong, yang melintasi selat itu pada 1 Mac sejurus selepas perang tercetus, dijadualkan tiba di pelabuhan Le Havre, Perancis pada malam Sabtu.
Sejak konflik bermula, pergerakan kapal komersial merosot dengan ketara berikutan serangan terpilih Iran terhadap kapal dan kemudahan tenaga di seluruh Teluk sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat dan Israel.
Bagaimanapun, beberapa kapal komersial yang melintasi Selat Hormuz kebelakangan ini dilaporkan menggunakan laluan yang diluluskan Iran di bahagian utara laluan air tersebut. - Agensi