TEHRAN: Kementerian Luar Iran menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kononnya kedua-dua negara kini sedang terlibat dalam proses rundingan bagi meredakan konflik di Asia Barat.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei, dalam satu temu bual bersama saluran berita India Today, menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas dan tidak boleh dipercayai.
Beliau menegaskan bahawa Iran mempunyai pengalaman lalu berhubung 'diplomasi AS', merujuk kepada dua siri serangan yang berlaku dalam tempoh sembilan bulan ketika Tehran sedang dalam proses rundingan isu nuklear sebelum ini.
"Itu adalah satu pengkhianatan terhadap diplomasi. Bagaimana untuk mempercayai dakwaan rundingan sedangkan Iran kini dibedil secara berterusan dengan peluru berpandu dan bom oleh pihak AS dan Israel?" tegas beliau.
Walau bagaimanapun, Esmail Baghaei mengesahkan bahawa beberapa negara jiran dan rakan sekutu telah menghubungi Iran untuk menawarkan khidmat sebagai perantara.
Mengulas mengenai peranan Pakistan, beliau mengakui Islamabad mempunyai niat baik dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, sentiasa berhubung rapat dengan rakan sejawatnya di Pakistan serta diplomat dari negara-negara serantau yang bimbang akan kesan buruk peperangan tersebut.
Esmail Baghaei turut menambah bahawa mesej Iran kepada semua pihak tengah adalah sangat jelas, iaitu negara itu akan terus mempertahankan kedaulatannya daripada sebarang serangan luar dan tidak akan terperdaya dengan tuntutan diplomasi yang dianggap sebagai sandiwara semata-mata.