ISTANBUL: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran berkata pada Sabtu sebuah hotel di Dubai diserang oleh kenderaan udara tanpa pemandu kamikaze dalam operasi yang menyasarkan elemen Amerika Syarikat (AS) di rantau itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Media separuh rasmi Agensi Berita Tesnim menerbitkan kenyataan mengenai gelombang ke-84 operasi "True Promise-4”.
Sebuah hotel di Dubai diserang dron kamikaze manakala enam kapal pendaratan AS (jenis LCU) di Pelabuhan Shuwaikh di Kuwait turut menjadi sasaran, menurut kenyataan itu.
Ia mendakwa tiga daripada kapal berkenaan karam dan baki tiga lagi rosak teruk dalam serangan itu, yang dikatakan melibatkan peluru berpandu Qadir 380 dengan jarak 1,000 kilometer (621 batu).
Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata pada Khamis, tentera AS di negara-negara Teluk telah meninggalkan pangkalan mereka dan tinggal di hotel justeru menggesa hotel supaya tidak menempatkan askar.
Iran membalas serangan AS dan Israel ke atas wilayahnya dengan gelombang serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS.
Konflik menyebabkan kecederaan dan kerosakan infrastruktur serta menjejaskan pasaran global dan penerbangan.
-- BERNAMA-ANADOLU