ARAD: Pemimpin kontroversi, Itamar Ben Gvir, menyeru warga Israel untuk tabah menghadapi serangan Republik Islam Iran.
Beliau, yang juga Menteri Keselamatan Israel, turut mengingatkan warga bahawa ia sedang menghadapi perang, lapor Reuters.
“Saya hadir untuk memberi sokongan dan kekuatan kepada warga Israel. Mereka (Iran) cuba mengancam kita, namun penting diingatkan bahawa kita sedang berperang.
"Peperangan ini harus diteruskan untuk mencapai kemenangan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan di Arad hari ini.
Lawatan itu diadakan susulan serangan peluru berpandu Iran di bandar tersebut dan wilayah Dimona pada malam Sabtu, yang menyebabkan lebih 100 penduduk cedera.
Jabatan Kesihatan Israel mengesahkan lebih 70 penduduk di Arad cedera akibat insiden terbaharu, termasuk 10 cedera parah dan 61 lagi cedera ringan.
Untuk rekod, Dimona merupakan kawasan yang dikawal ketat dan menempatkan fasiliti nuklear Israel.
Kor Revolusi Pengawal Islam Iran (IRGC) berkata Iran melancarkan serangan itu susulan Amerika Syarikat (AS) menyerang fasiliti pengayaan uranium di Natanz pada 21 Mac.
Kakitangan bomba Israel turut mengesahkan sistem pertahanan gagal memintas peluru berpandu, menyebabkan dua peluru berpandu balistik dengan kepala peledak seberat ratusan kilogram mendarat terus, mengakibatkan kerosakan serta kecederaan.
Iran melancarkan serangan ke atas Israel selepas rejim Zionis dan sekutunya, AS, menyerang bertali arus beberapa wilayah di Iran, yang menyebabkan lebih 25,000 ribu rakyat negara itu cedera sejak 28 Februari lalu. - Agensi