SYDNEY: Kerajaan Australia melarang pelawat dari Iran pada Khamis dengan alasan perang di Asia Barat meningkatkan risiko mereka enggan pulang selepas visa jangka pendek mereka tamat tempoh.
Untuk tempoh enam bulan akan datang, individu yang menggunakan pasport Iran dilarang melawat Australia untuk tujuan pelancongan atau bekerja, menurut Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri.
“Konflik di Iran telah meningkatkan risiko bahawa sesetengah pemegang visa sementara mungkin tidak dapat atau tidak mahu meninggalkan Australia apabila visa mereka tamat,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.
Beberapa pengecualian akan dipertimbangkan secara kes demi kes, tambah jabatan itu, seperti untuk ibu bapa kepada warganegara Australia.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Tony Burke, berkata: “Terdapat banyak visa pelawat yang dikeluarkan sebelum konflik di Iran, yang mungkin tidak akan diluluskan jika permohonannya dibuat sekarang.
"Keputusan untuk menetap secara kekal di Australia perlu dibuat secara terancang oleh kerajaan, bukan akibat rawak daripada siapa yang menempah percutian.”
Menurut angka kerajaan, lebih 85,000 penduduk Australia dilahirkan di Iran, dengan komuniti diaspora yang aktif terutamanya di bandar-bandar besar seperti Sydney dan Melbourne.
Australia menimbulkan kemarahan Iran awal bulan ini apabila ia memberikan suaka kepada tujuh pemain dan pegawai daripada pasukan bola sepak wanita Iran yang melawat negara itu.
Pemain-pemain berkenaan digelar “pengkhianat” di tanah air mereka selepas enggan menyanyikan lagu kebangsaan sebelum perlawanan Piala Asia - satu tindakan yang dilihat sebagai protes terhadap Republik Islam itu.
Lima daripada tujuh individu itu kemudian menarik balik permohonan suaka mereka, mencetuskan syak bahawa keluarga mereka mungkin telah menerima tekanan atau ancaman dari pihak berkuasa. - Agensi