Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Australia kuat kuasa sekatan 6 bulan terhadap pemegang visa Iran

Passport Iran
Sekatan sementara selama enam bulan itu melibatkan warga Iran yang memegang visa pelawat Subkelas 600 dan berada di luar Australia. -Gambar fail/Freepik

SYDNEY: Australia hari ini secara rasmi melarang kemasukan pelawat dari Iran berikutan kebimbangan terhadap konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.

Sekatan sementara selama enam bulan itu melibatkan warga Iran yang memegang visa pelawat Subkelas 600 dan berada di luar Australia.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Tony Burke berkata langkah tersebut perlu bagi melindungi integriti sistem migrasi negara kerana terdapat risiko tinggi pemegang visa berkenaan tidak dapat atau enggan kembali ke tanah air apabila tempoh visa tamat.

Beliau turut menjelaskan bahawa banyak visa yang dikeluarkan sebelum konflik mungkin tidak akan diluluskan jika permohonan dibuat dalam keadaan semasa.

Menurutnya, keputusan mengenai penempatan tetap di Australia harus dibuat secara terancang dan bukan berdasarkan siapa yang telah menempah percutian.

Pengecualian diberikan kepada pasangan, anak tanggungan warganegara serta penduduk tetap Australia, selain kes tertentu yang layak mendapat Permitted Travel Certificate atas dasar kemanusiaan.

Sekatan tersebut menjejaskan lebih 7,000 pemegang visa sedia ada yang belum tiba di Australia, sekali gus mencetuskan kritikan daripada peguam migrasi dan aktivis hak asasi manusia yang menyifatkan langkah itu sebagai tidak adil.

Pihak berkuasa Australia akan terus memantau perkembangan konflik di Asia Barat dan bersedia melaraskan semula dasar kemasukan tersebut sekiranya keadaan berubah.

Must Watch Video