Skip to main content

Dunia

Kira-kira 6,300 rakyat Korea Selatan tinggalkan Asia Barat dalam tempoh seminggu

Sumber: YONHAP NEWS
Warga Korea Selatan beratur untuk menaiki penerbangan yang diatur oleh Qatar untuk pulang, susulan konflik Asia Barat, 9 Mac 2026. Foto Kementerian Luar Korea Selatan/YONHAP NEWS

SEOUL: Kira-kira 6,300 rakyat Korea Selatan meninggalkan beberapa negara di Asia Barat sepanjang tujuh hari lepas susulan konflik ketenteraan yang berterusan di rantau itu, menurut kementerian luar negara itu pada Selasa, lapor Agensi Berita Yonhap.

Jumlah rakyat Korea Selatan yang masih berada di 14 negara di rantau itu adalah kira-kira 14,700 setakat Isnin, berbanding kira-kira 21,000 pada Selasa lepas, menurut kementerian itu, apabila ramai berusaha pulang ke tanah air berikutan konflik yang semakin meluas.

Jumlah pelancong jangka pendek Korea Selatan di semua negara berkenaan turut menurun kepada kira-kira 2,100 berbanding kira-kira 4,100 dalam tempoh sama, menurut kementerian itu.

Kementerian itu turut mengambil pelbagai langkah bagi membantu rakyat Korea Selatan meninggalkan rantau itu dengan selamat.

Kedutaan Korea Selatan di Iraq membantu 17 orang, termasuk seorang warga asing, berlepas ke Kuwait pada Isnin.

Sebuah penerbangan khas yang membawa 322 rakyat Korea Selatan tiba di tanah air awal Selasa selepas berlepas dari Qatar.

Sementara itu, kementerian berkenaan memaklumkan tambahan 38 rakyat Korea Selatan di Israel dipindahkan ke Mesir pada Selasa. Kumpulan itu, yang turut melibatkan seorang warga Korea-Amerika, berlepas dari Baitulmuqaddis lebih awal pada hari itu dengan menaiki bas yang diatur Kerajaan Korea Selatan.

Selasa lepas, 66 rakyat Korea Selatan di Israel turut meninggalkan negara itu dengan menaiki bas sewa khas menuju ke Mesir.

-- BERNAMA-YONHAP

 

 

Must Watch Video