BRATISLAVA: Kerajaan Slovakia pada Rabu mengisytiharkan darurat berkaitan bekalan minyak, menurut Agensi Berita Republik Slovakia (TASR), lapor Xinhua.
Negara itu akan melepaskan sehingga 250,000 tan minyak daripada rizab bahan nasional untuk kilang penapisan Slovnaft yang berpangkalan di Bratislava, menurut keputusan kerajaan susulan gangguan bekalan minyak melalui saluran paip Druzhba.
Infrastruktur saluran paip minyak Druzhba di timur Ukraine rosak pada akhir Januari akibat aktiviti ketenteraan. Keadaan itu menyebabkan bekalan minyak ke Slovakia terhenti dan masih belum disambung semula, menurut TASR.
Selain itu, kilang penapisan Slovnaft akan menghentikan eksport diesel ke Ukraine dan semua produk kini akan diperuntukkan bagi pasaran domestik, kata Perdana Menteri Slovakia Robert Fico selepas keputusan kerajaan untuk melepaskan 250,000 tan simpanan minyak itu.
-- BERNAMA-XINHUA