Skip to main content

Dunia

Kemajuan dicapai bagi rangka kerja buka Selat Hormuz "tanpa tol" - Rubio

United States Secretary of State Marco Rubio listens as India's Minister of External Affairs S. Jaishankar, not pictured, speaks during a joint press conference at Hyderabad House, in New Delhi, India, May 24, 2026. Julia Demaree Nikhinson/Pool via REUTERS
Sambil menekankan penyelesaian diplomatik, Rubio berkata AS telah “mencapai beberapa kemajuan dalam tempoh 48 jam yang lalu hasil kerjasama dengan rakan kongsi kami di rantau Teluk berhubung satu rangka kerja”. - Foto REUTERS

ISTANBUL: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio pada Ahad berkata bahawa kemajuan telah dicapai berhubung “rangka kerja” untuk membuka Selat Hormuz “tanpa tol”, namun ia memerlukan 'penerimaan penuh dan pematuhan oleh Iran, lapor Anadolu Ajansi.

"Beberapa kemajuan telah dicapai, kemajuan yang ketara, walaupun ia belum lagi muktamad," kata Rubio kepada pemberita di ibu negara India, New Delhi, merujuk kepada rundingan tidak langsung yang sedang berlangsung antara AS dan Iran, dengan Pakistan bertindak sebagai perantara.

Mengenai Selat Hormuz, Rubio berkata: "Ini adalah laluan air antarabangsa. Mereka tidak memilikinya. Ia adalah laluan air antarabangsa."

Sambil menekankan penyelesaian diplomatik, Rubio berkata AS telah “mencapai beberapa kemajuan dalam tempoh 48 jam yang lalu hasil kerjasama dengan rakan kongsi kami di rantau Teluk berhubung satu rangka kerja”.

Rangka kerja itu, tambah beliau, “berpotensi, jika berjaya, bukan sahaja akan membolehkan selat dibuka sepenuhnya - dan maksud saya selat yang terbuka tanpa tol - malah turut menangani beberapa perkara utama yang menjadi asas kepada cita-cita Iran untuk memiliki senjata nuklear pada masa lalu.”

"Sudah tentu," tegas Rubio, "ia memerlukan penerimaan penuh dan kemudian pematuhan oleh Iran, selain usaha lanjut pada masa depan untuk merundingkan butirannya."

Presiden AS Donald Trump telah mengadakan panggilan telefon dengan pemimpin serantau pada malam Sabtu bagi membincangkan rundingan tidak langsung yang sedang berjalan dengan Iran. Menurut beliau, satu perjanjian “sebahagian besarnya telah dirundingkan” dan kini menanti proses dimuktamadkan.

"Matlamat utama adalah supaya Iran tidak akan dapat memiliki senjata nuklear. Iran tidak boleh sama sekali memiliki senjata nuklear," kata Rubio.

Beliau berkata program nuklear Iran adalah perkara yang “sangat teknikal”, “kemungkinan memerlukan tempoh tertentu untuk ditangani.”

“‘Pilihan utama’ AS adalah untuk menangani perkara ini melalui saluran diplomatik, dan itulah yang kami cuba lakukan di sini. Saya rasa kami telah mencapai beberapa kemajuan. Saya sentiasa berhati-hati apabila menyatakan perkara itu kerana anda boleh bersetuju tentang sesuatu perkara di atas kertas," katanya.

"Tetapi saya berpendapat ada kemungkinan bahawa dalam beberapa jam akan datang, dunia akan menerima beberapa berita baik, sekurang-kurangnya berkaitan dengan selat tersebut," kata Rubio.

"Kemajuan yang ketara telah dicapai, walaupun belum muktamad."

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement