LONDON: Keluarga Virginia Giuffre, antara mangsa paling dikenali dalam kes pemerdagangan seks melibatkan Jeffrey Epstein, menggesa Raja Charles III supaya bertemu dengan para mangsa ketika lawatan negara baginda ke Amerika Syarikat (AS) hujung bulan ini.
Dalam kenyataan, keluarga itu berkata lawatan Raja Charles ke Washington dari 27 hingga 30 April berlangsung hampir dengan ulang tahun kematian Giuffre pada April 2025, yang diklasifikasikan sebagai bunuh diri.
Giuffre tampil secara terbuka pada 2010 dengan dakwaan beliau diperdagangkan oleh Epstein dan rakannya, Ghislaine Maxwell, ketika masih remaja, termasuk kepada adik Raja Charles, ketika itu Putera Andrew.
Andrew menafikan dakwaan tersebut dan mencapai penyelesaian luar mahkamah dengan Giuffre pada 2022 tanpa mengakui salah laku.
Adik Giuffre, Sky Roberts, dan isterinya Amanda, berkata Raja Charles digesa mendengar pengalaman mangsa secara langsung, dengan harapan ia membawa kepada tindakan lanjut kerajaan Britain terhadap pihak yang terlibat dengan Epstein.
Lawatan Raja Charles berlangsung beberapa bulan selepas Jabatan Kehakiman AS mengeluarkan dokumen terakhir berkaitan siasatan terhadap Epstein, yang meninggal dunia dalam tahanan pada 2019.
Pendedahan jutaan dokumen itu mencetuskan beberapa siasatan, peletakan jawatan dan pendakwaan berprofil tinggi di AS dan UK.
Di Britain, Putera Andrew telah dilucutkan peranan rasmi diraja dan gelaran kebesaran susulan hubungannya dengan Epstein.
Istana Buckingham setakat ini tidak memberi maklum balas rasmi terhadap permintaan keluarga Giuffre, namun sebelum ini menyatakan simpati terhadap mangsa penderaan.