Skip to main content

Dunia

AS keluar sepina terhadap pengulas politik, aktivis berhubung lawatan ke Cuba

Havana, Cuba
Konvoi melibatkan aktivis, pempengaruh dan organisasi politik yang berkunjung ke Havana didakwa menyertai acara dianjurkan kumpulan yang menyokong kerajaan Cuba, termasuk kemungkinan mengadakan pertemuan dengan pegawai Cuba. - Gambar fail/ Reuters

HOUSTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu mengeluarkan sepina terhadap seorang pengulas politik dan seorang aktivis antiperang berhubung lawatan terbaharu mereka ke Cuba serta kemungkinan pelanggaran sekatan dan peraturan perjalanan, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Fox News.

Laporan itu menyebut siasatan terhadap pempengaruh Hasan Piker dan pengasas bersama CODEPINK Medea Benjamin diketuai Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) Jabatan Perbendaharaan AS, dan meneliti kemungkinan pelanggaran undang-undang AS berkaitan sekatan terhadap Cuba.

Sepina itu dilaporkan menuntut rekod kewangan, perjalanan dan komunikasi berkaitan lawatan ke Cuba pada Mac yang melibatkan sehingga 40 warga AS sebagai sebahagian daripada konvoi Nuestra América atau “Our America Convoy”.

Laporan itu menyebut konvoi berkenaan melibatkan aktivis, pempengaruh dan organisasi politik yang berkunjung ke Havana dengan membawa bekalan serta menyertai acara dianjurkan kumpulan yang menyokong kerajaan Cuba, termasuk kemungkinan mengadakan pertemuan dengan pegawai Cuba.

Fox News berkata siasatan itu sebahagian daripada usaha lebih luas pentadbiran Trump yang menyasarkan apa yang disifatkannya sebagai operasi pengaruh asing dan aktiviti berkaitan gerakan ekstremis atau organisasi yang dianggap bermusuhan.

Piker, seorang penstrim politik di Twitch mempunyai pengikut dalam talian yang ramai menerusi ulasan mengenai politik AS dan dasar luar negara. Fox News menyatakan beberapa kenyataannya menerima kritikan daripada pegawai Rumah Putih.

Laporan itu turut memetik hantaran media sosial oleh Piker mengenai lawatannya ke Cuba dan kenyataan yang dibuatnya ketika siaran langsung mengkritik pertuduhan Jabatan Kehakiman terhadap bekas pemimpin Cuba Raul Castro serta dasar pentadbiran Trump terhadap Cuba.

Benjamin, pengasas bersama kumpulan antiperang CodePink, sekian lama dikenali kerana bantahan yang dilakukannya dalam pendengaran Kongres dan acara awam berkaitan dasar luar AS.

Fox News berkata sepina itu menandakan peningkatan penelitian pentadbiran terhadap kumpulan aktivis dan organisasi tidak berasaskan keuntungan yang dipercayai pihak berkuasa mungkin melanggar peraturan sekatan berkaitan Cuba.

Menurut laporan itu, pegawai OFAC sedang meneliti sama ada anggota delegasi itu menginap di hotel yang tersenarai dalam Cuba Restricted List Jabatan Negara AS, yang melarang transaksi tertentu membabitkan entiti berkaitan kerajaan Cuba.

Undang-undang AS secara umumnya mengehadkan transaksi kewangan dan beberapa aktiviti berkaitan perjalanan membabitkan Cuba, dengan pengecualian bagi bidang seperti kewartawanan, pendidikan dan projek kemanusiaan.

Pakar perundangan berkata siasatan itu boleh kekal sebagai tindakan penguatkuasaan sivil yang dikendalikan OFAC atau berpotensi berkembang menjadi kes jenayah di bawah Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement