Skip to main content

Dunia

Keganasan seksual, kes rogol meningkat mendadak di EU sepanjang dekad lepas

Stop sexual harassment and violence against women, rape and sexual abuse concept, STOP gesture with hand, Stop drugs, human rights violations, human trafficking, Copy space. --Adobe Stock Image
Pada 2024, polis di Kesatuan Eropah merekodkan 256,302 kes keganasan seksual, termasuk 98,190 kes rogol. - Gambar hiasan/Adobe Stock

ISTANBUL: Keganasan seksual dan kes rogol yang direkodkan oleh polis di seluruh Kesatuan Eropah (EU) meningkat dengan ketara sepanjang dekad lepas, menurut data yang diterbitkan pada Rabu oleh pejabat statistik EU, Eurostat.

Pada 2024, polis di EU merekodkan 256,302 kes keganasan seksual, termasuk 98,190 kes rogol, lapor Anadolu Ajansi.

Berbanding 2023, kes keganasan seksual meningkat sebanyak 5.0 peratus, manakala kes rogol meningkat 7.0 peratus.

Angka ini mencerminkan peningkatan berterusan dalam kes keganasan seksual yang dilaporkan sepanjang dekad lepas.

Dalam tempoh 2014 hingga 2024, kes keganasan seksual meningkat sebanyak 94 peratus, manakala kes rogol meningkat 150 peratus.

Eurostat menyatakan peningkatan kes yang direkodkan mungkin berkait dengan kesedaran yang semakin meningkat, yang boleh mempengaruhi kadar pelaporan.

Sebaliknya, kes pembunuhan dengan niat di EU menunjukkan penurunan dalam tempoh yang sama.

Pada 2024, polis merekodkan 3,953 kes pembunuhan dengan niat, iaitu peningkatan 1.0 peratus berbanding 2023, namun penurunan sebanyak 11 peratus berbanding 2014.

Data Eurostat menunjukkan 2015 mencatatkan jumlah tertinggi kes pembunuhan dengan niat iaitu sebanyak 4,616 kes.

Mulai 2016, angka menurun kepada 3,735 pada 2019. Pada 2020, jumlah meningkat kepada 3,820 sebelum menurun kepada 3,645 pada 2021.

Selepas 2021, angka meningkat kepada 3,838 pada 2022, 3,897 pada 2023 dan 3,953 pada 2024.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video