Skip to main content

Dunia

Jakarta hubungi Tehran selepas cadangan jadi orang tengah

41732984629_TBSugiono.jpg
Menteri Luar Indonesia Sugiono berkata beliau telah bercakap mengenai perkara itu menerusi panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Iran, Seyed Abbas Araghchi pada Isnin. - Gambar fail/Instragram Sugiono

JAKARTA: Indonesia telah mengambil langkah lanjut dalam inisiatif keamanannya dengan menghubungi Iran secara peribadi, susulan tawarannya sebelum ini untuk membantu memudahkan dialog antara Tehran dan Amerika Syarikat (AS).

Menteri Luar Indonesia Sugiono berkata beliau telah bercakap mengenai perkara itu menerusi panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Iran, Seyed Abbas Araghchi pada Isnin.

"Indonesia bersedia untuk memainkan peranan konstruktif dalam membawa keamanan, termasuk menawarkan kesediaan kami untuk memudahkan dialog atau pengantaraan, dengan objektif bersama iaitu untuk mencegah peningkatan keganasan dan menghentikan kehilangan nyawa yang tidak berdosa," menurutnya di media sosialnya, pada Selasa.

Kementerian Luar, pada 28 Feb iaitu hari Iran diserang oleh Amerika Syarikat dan Israel, memaklumkan bahawa Presiden Prabowo Subianto pergi ke Tehran dan memudahkan dialog, jika dipersetujui oleh Iran dan AS.

Sugiono turut menyeru semua pihak supaya menahan diri dan meneruskan de-eskalasi serta-merta, menekankan bahawa penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti ditegakkan.

"Dialog dan diplomasi ialah satu-satunya jalan yang berdaya maju ke arah kestabilan serantau," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video