Skip to main content

Dunia

Itali rancang hantar bantuan pertahanan udara ke negara Teluk

Italian Prime Minister Giorgia Meloni speaks during a joint statement with President of Cyprus Nikos Christodoulides, at Chigi Palace, in Rome, Italy, February 26, 2026. REUTERS/Remo Casilli
Meloni (foto) menegaskan bahawa langkah itu selari dengan tindakan sekutu Eropah lain termasuk United Kingdom, Perancis dan Jerman dalam memperkukuh keselamatan rantau berkenaan. -Gambar fail/Reuters

ROM: Itali merancang menghantar bantuan pertahanan udara ke negara‑negara Teluk bagi menghadapi ancaman serangan udara Iran, menurut Perdana Menteri Giorgia Meloni.

Bercakap kepada sebuah stesen radio tempatan, Meloni menegaskan bahawa langkah itu selari dengan tindakan sekutu Eropah lain termasuk United Kingdom, Perancis dan Jerman dalam memperkukuh keselamatan rantau berkenaan.

“Sama seperti UK, Perancis, dan Jerman, Itali berhasrat untuk menghantar bantuan ke negara-negara Teluk, khususnya dalam bidang pertahanan dan terutama sekali, pertahanan udara,” kata Meloni seperti dilaporkan agensi berita Reuters.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan tersebut bukan sekadar didorong oleh hubungan diplomatik, malah merupakan tanggungjawab utama kerajaan bagi melindungi puluhan ribu rakyat Itali yang menetap di rantau tersebut serta anggota tentera yang sedang bertugas.

“Ini bukan sahaja kerana mereka adalah negara sahabat, tetapi terutamanya kerana puluhan ribu rakyat Itali tinggal di rantau itu dan kira‑kira 2,000 anggota tentera Itali ditempatkan di sana — individu yang kita mahu, dan mesti, lindungi,” katanya.

Media antarabangsa melaporkan bahawa bantuan yang dipertimbangkan termasuk sistem pertahanan udara seperti SAMP/T, iaitu sistem pemintasan balistik buatan bersama Perancis–Itali, susulan peningkatan serangan peluru berpandu dan dron oleh Iran di rantau Asia Barat.

Langkah itu diambil ketika kebimbangan global meningkat terhadap eskalasi konflik yang memperlihatkan Iran menyasarkan pelbagai aset tentera dan infrastruktur strategik di beberapa negara Teluk.

Must Watch Video