BAITULMAQDIS: Israel telah meluluskan pembinaan puluhan penempatan Yahudi baharu di Tebing Barat yang diduduki, menurut kumpulan pemantau Israel, Peace Now, ketika serangan oleh peneroka terhadap rakyat Palestin dilaporkan semakin meningkat di wilayah itu.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, Peace Now berkata kabinet Israel telah meluluskan penubuhan 34 penempatan baharu pada 1 April lalu, kebanyakannya merupakan pos terpencil di kawasan pergunungan Tebing Barat.
Kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bagaimanapun belum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai keputusan tersebut.
Perkara itu mula dilaporkan secara meluas oleh media Israel pada Khamis selepas penapisan ketenteraan Israel membenarkan maklumat tersebut diterbitkan.
Pejabat Presiden Palestin mengecam rancangan itu sebagai “pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa”.
Pejabat Netanyahu dan Majlis Yesha, sebuah badan yang mewakili peneroka Yahudi di Tebing Barat, setakat ini tidak memberikan sebarang maklum balas.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tahun lalu memutuskan bahawa penempatan Israel di Tebing Barat adalah menyalahi undang-undang antarabangsa dan perlu ditarik balik.
Dianggarkan kira-kira 500,000 peneroka Yahudi tinggal di Tebing Barat, yang turut didiami lebih 3 juta penduduk Palestin.
Kerajaan Netanyahu telah menyelia peningkatan pembinaan penempatan yang disifatkan sebagai paling agresif dalam sejarah.
Menteri Kewangan berhaluan kanan, Bezalel Smotrich, sebelum ini berkata usaha itu bertujuan untuk “menguburkan” idea penubuhan negara Palestin di Tebing Barat.
Tempoh pentadbiran kerajaan semasa juga menyaksikan peningkatan ketara keganasan peneroka.
Pada Rabu, seorang lelaki Palestin berusia 28 tahun terbunuh dalam serangan peneroka di kampung Tayasir, berhampiran Tubas di utara Tebing Barat.
Tentera Israel berkata seorang anggota tentera yang sedang bercuti melepaskan tembakan ke arah seorang penduduk Palestin susulan insiden baling batu berhampiran kawasan berkenaan, namun tidak menjelaskan sama ada anggota tersebut turut terlibat sebagai peneroka.
Penduduk Tayasir berkata serangan bermula selepas pos peneroka didirikan berhampiran kampung itu kira-kira sebulan lalu.
Seorang petani, Hussam Abdel Latif Wahdan, 65, mendakwa beliau diserang sekumpulan peneroka lewat malam Rabu.
“Mereka menyerang saya. Saya terselamat dengan izin Tuhan. Mereka sangat dekat, hanya kira-kira 10 meter dari saya,” katanya, sambil meluahkan kebimbangan ladangnya akan menjadi sasaran seterusnya.
Sejak awal tahun ini, sekurang-kurangnya enam penduduk Palestin terbunuh akibat serangan peneroka di Tebing Barat.
Kumpulan hak asasi manusia melaporkan peningkatan mendadak serangan sejak konflik Iran meletus pada 28 Februari, termasuk pembakaran, pukul dan vandalisme di kampung-kampung Palestin.
Israel menegaskan keganasan tersebut dilakukan oleh “golongan kecil ekstrem”, namun pandangan itu dipertikaikan oleh pemerhati hak asasi dan penduduk tempatan.
Kebanyakan komuniti antarabangsa terus menganggap Tebing Barat sebagai wilayah yang diduduki sejak Israel menawannya dalam perang 1967.