Skip to main content

Dunia

Israel lancar serangan ke atas Lubnan, 380 maut sejak gencatan senjata berkuat kuasa

FILE - Smoke rises following several Israeli airstrikes that hit without previous warning Beirut's southern suburbs and central Beirut, Lebanon, Wednesday, April 8, 2026. (AP Photo/Hassan Ammar, File)
Asap tebal susulan serangan udara Israel ke atas pinggir selatan dan pusat Beirut, Lubnan, 8 April 2026. - Gambar fail AP

BEIRUT: Israel melancarkan serangan udara ke atas selatan Lubnan pada Selasa ketika rundingan antara kedua-dua negara dijadual berlangsung di Washington, dengan Beirut melaporkan sekurang-kurangnya 380 orang terbunuh dalam serangan Israel sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 17 April lalu.

Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan, dua anggota pertahanan awam terbunuh dalam serangan terbaharu Israel, menjadikan mereka antara korban dalam konflik yang kembali memuncak meskipun perjanjian gencatan senjata diumumkan sebelum ini.

Ketua Hezbollah, Naim Qassem pula berikrar akan menjadikan medan pertempuran sebagai “neraka” buat tentera Israel, selain menegaskan, senjata milik kumpulan yang disokong Iran itu tidak akan dibincangkan dalam rundingan yang dijadual berlangsung pada Khamis dan Jumaat, susulan gesaan Amerika Syarikat supaya Hezbollah dilucutkan senjata.

Israel dalam pada itu memperhebat serangan ke atas selatan Lubnan, walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa, dengan kedua-dua pihak terus berbalas tembakan. 

Di bawah terma gencatan senjata yang diumumkan Washington, Israel mengekalkan hak untuk bertindak terhadap ancaman yang dianggap segera.

Kementerian Kesihatan Lubnan berkata, serangan Israel pada Selasa menyasarkan pasukan pertahanan awam yang sedang memberi bantuan susulan serangan terdahulu di bandar Nabatieh, selatan Lubnan, mengorbankan dua anggota penyelamat serta seorang mangsa yang cedera.

Kementerian itu mengecam tindakan Israel sebagai “pengabaian sepenuhnya terhadap semua norma antarabangsa.”

Hezbollah turut melancarkan beberapa serangan, termasuk pada Selasa, terhadap tentera Israel yang memasuki selatan Lubnan serta merentasi sempadan, dengan mendakwa tindakan itu sebagai tindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata oleh Israel.

Menteri Kesihatan Lubnan, Rakan Nassereddine berkata dalam sidang media, sejak gencatan senjata diumumkan, 380 orang maut dan 1,122 lagi cedera. 

Seorang pegawai kementerian memaklumkan, jumlah itu termasuk 39 wanita dan 22 kanak-kanak.

“Pembunuhan beramai-ramai”

Nassereddine menyifatkan situasi itu sebagai “serangan sistematik dan berterusan terhadap orang awam”, sambil menyatakan gencatan senjata berkenaan sebagai rapuh dan tidak berkesan.

Pertubuhan Save the Children pula memaklumkan, secara purata lebih empat kanak-kanak terbunuh atau cedera setiap hari di Lubnan dalam tempoh 25 hari pertama gencatan senjata.

Pengarah Save the Children Lubnan, Nora Ingdal berkata, serangan terhadap orang awam sebenarnya tidak pernah terhenti dan hanya diteruskan “di bawah nama yang berbeza."

Selain serangan udara berterusan, tentera Israel dilaporkan beroperasi di belakang satu “garisan kuning” sejauh kira-kira 10 kilometer ke dalam wilayah Lubnan, dan telah mengeluarkan arahan pemindahan untuk puluhan kampung di selatan dan timur Lubnan menjelang serangan, termasuk pada Selasa.

Menurut Nassereddine, jumlah keseluruhan korban akibat serangan Israel sejak perang tercetus pada 2 Mac lalu mencecah 2,882 orang, termasuk 279 wanita dan 200 kanak-kanak. 

Seramai 108 petugas kecemasan dan kesihatan turut terkorban sebelum insiden kematian terbaharu anggota pertahanan awam.

“Ia satu pembunuhan beramai-ramai. Tiada pejuang atau anggota bersenjata dalam kenderaan ambulans ini, hanya paramedik, peralatan perubatan dan mangsa yang cedera,” katanya.

Israel sebelum ini menuduh Hezbollah menggunakan ambulans dan kemudahan perubatan untuk tujuan ketenteraan, satu dakwaan yang dinafikan kumpulan itu.

“Neraka”

Tentera Israel pada Selasa memaklumkan bahawa dalam tempoh seminggu lalu, mereka melancarkan “operasi khas” bagi memusnahkan infrastruktur militan di wilayah Litani, selatan Lubnan, serta mewujudkan kawalan operasi di kawasan berkenaan.

Qassem mengulangi pendirian Hezbollah dengan menegaskan, “kami tidak akan meninggalkan medan pertempuran dan akan menjadikannya neraka untuk Israel.”

Minggu lalu, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Tommy Pigott berkata, keamanan menyeluruh hanya boleh dicapai melalui pemulihan sepenuhnya kuasa kerajaan Lubnan dan pelucutan senjata Hezbollah.

Bagaimanapun, Qassem berkata, senjata kumpulannya adalah “urusan dalaman Lubnan” dan sekali lagi menolak rundingan langsung Lubnan dengan Israel, sambil menggesa pihak berkuasa menarik diri menjelang rundingan akan datang.

Hezbollah menyeret Lubnan ke dalam konflik Asia Barat pada 2 Mac lalu apabila ia melancarkan serangan roket ke arah Israel sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran dalam serangan Amerika Syarikat dan Israel. - Agensi

Must Watch Video