Skip to main content

Dunia

Iran tuduh AS, Israel punca ketegangan di Selat Hormuz

51727868671_MasoudPezeshkian.jpg
Pezeshkian (foto) berkata sebarang ketidakstabilan di perairan itu berpunca daripada campur tangan kuasa asing, khususnya AS dan Israel, yang dirujuknya sebagai “rejim Zionis”. -Gambar fail

TEHRAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menyalahkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel atas ketegangan keselamatan berterusan di Selat Hormuz, sambil menegaskan bahawa laluan air strategik itu merupakan simbol penentangan negara berkenaan.

Dalam perutusan sempena Hari Teluk Parsi Kebangsaan pada Khamis, Pezeshkian berkata sebarang ketidakstabilan di perairan itu berpunca daripada campur tangan kuasa asing, khususnya AS dan Israel, yang dirujuknya sebagai rejim Zionis, lapor Al Jazeera.

Beliau turut mempertahankan tindakan Tehran mengehadkan akses pihak yang disifatkannya sebagai “negara musuh” di laluan air yang menjadi antara nadi utama bekalan tenaga global.

“Ketidakhadiran dan campur tangan asing tidak meningkatkan keselamatan, sebaliknya hanya menyemarakkan ketegangan dan ketidakstabilan,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan media rasmi Iran.

Pezeshkian turut mendakwa sebarang usaha mengenakan sekatan atau kawalan maritim di perairan berkenaan bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan tidak akan mencapai matlamatnya.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika hubungan di antara Washington dan Tehran kekal tegang susulan langkah sekatan dan kawalan maritim dikenakan AS terhadap kepentingan Iran sejak akhir Februari lalu.

Walaupun terdapat laporan mengenai usaha diplomatik tidak rasmi yang sedang dijalankan di Pakistan, jurucakap Tehran baru-baru ini menegaskan sebarang perbincangan mengenai akses Selat Hormuz bergantung kepada perubahan dasar sekatan oleh AS.

Selat Hormuz yang lebarnya kira-kira 21 batu nautika merupakan laluan penting bagi hampir satu perlima bekalan minyak harian dunia, menjadikannya antara perairan paling strategik dan sensitif di peringkat antarabangsa.

Must Watch Video