PASUKAN Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mengumumkan bahawa mereka telah melancarkan ‘gelombang pertama’ serangan menggunakan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel.
Serangan balas itu berlaku selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran, termasuk serangan awal berhampiran pejabat Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, lapor Associated Press (AP).
Media Iran melaporkan letupan di beberapa lokasi di seluruh negara, manakala asap tebal kelihatan naik di beberapa bahagian Tehran susulan serangan udara tersebut.
Dalam kenyataan IRGC, tindakan melancarkan dron dan peluru berpandu itu digambarkan sebagai sebahagian daripada operasi pertahanan bagi membalas serangan yang disifatkan sebagai pencabulan terhadap kedaulatan Iran.
Kenyataan itu turut memberi bayangan bahawa lebih banyak gelombang serangan mungkin menyusul.
AS telah mengesahkan penglibatan langsung dalam operasi ketenteraan ke atas Iran, dengan Presiden Donald Trump menyatakan AS telah memulakan “operasi tempur besar-besaran” di republik itu.
Beliau juga menuduh Iran meneruskan pembangunan nuklear serta merancang menghasilkan peluru berpandu jarak jauh.
Israel pula menyifatkan tindakan ketenteraan tersebut sebagai satu operasi bersama yang bertujuan “menghapuskan ancaman wujud” yang didakwa datang dari Iran, menurut kenyataan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang dipetik media antarabangsa.
Ketegangan meningkat dengan cepat selepas siren amaran dibunyikan di seluruh Israel, manakala penduduk diarahkan kekal berhampiran tempat perlindungan.
Media di Lebanon dan Syria turut melaporkan bunyi letupan di ruang udara, dipercayai berpunca daripada usaha pertahanan udara Israel memintas projektil Iran.
Dalam pada itu, beberapa kedutaan AS di Timur Tengah mengeluarkan arahan segera kepada kakitangan dan rakyatnya supaya berlindung di tempat selamat, berikutan kebimbangan terhadap tindakan balas Iran yang lebih besar.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Iran telah beberapa kali memberi amaran bahawa jika diserang, negara itu akan mensasarkan anggota tentera dan pangkalan Amerika Syarikat di rantau tersebut, selain membuat persediaan untuk konflik lebih besar.