ISTANBUL: Iran pada Isnin menafikan dakwaan bahawa ia menyasarkan sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS)-United Kingdom (UK) di Diego Garcia dengan peluru berpandu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baqaei dalam satu kenyataan di platform media sosial X berkata bahawa tuduhan terbaharu itu tidak mempunyai kredibiliti dan mencerminkan corak “maklumat palsu”.
“Setiausaha Agung NATO (Mark Rutte) sendiri enggan menyokong maklumat palsu terbaharu Israel sudah cukup menggambarkan bahawa dunia semakin muak dengan naratif "bendera palsu" yang lapuk dan tidak lagi dipercayai ini,” tulis beliau.
Penafian itu dibuat selepas Rutte berkata perikatan berkenaan “tidak dapat mengesahkan” dakwaan Israel bahawa peluru berpandu yang menyasarkan Diego Garcia ialah peluru berpandu balistik antara benua milik Iran.
Pada Jumaat, Wall Street Journal melaporkan bahawa dua peluru berpandu balistik jarak sederhana telah dilancarkan ke arah pangkalan berkenaan, namun kedua-duanya tidak mengenai sasaran.
Pentagon tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan Anadolu untuk mendapatkan komen.
Diego Garcia merupakan satu daripada dua pangkalan yang dibenarkan UK untuk digunakan oleh AS sebagai sebahagian daripada kempen ketenteraan berterusan terhadap Iran.
Insiden yang dilaporkan itu menarik perhatian kerana Diego Garcia terletak kira-kira 4,000 kilometer (2,485 batu) dari Iran, iaitu dua kali ganda daripada had jarak peluru berpandu Iran yang didakwa ditetapkan sendiri oleh Tehran sebanyak 2,000 kilometer.
-- BERNAMA-ANADOLU