TEHRAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menegaskan bahawa Amerika Syarikat (AS) memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap peperangan yang melanda Asia Barat, sambil menyifatkan konflik itu sebagai “perang Amerika”.
Dalam temu bual eksklusif bersama Al Jazeera, Abbas Araghchi menafikan dakwaan bahawa Iran menyasarkan orang awam, sebaliknya mempertahankan tindakan ketenteraan Tehran sebagai langkah balas dendam yang sah.
Beliau berkata kehadiran besar-besaran tentera AS di Teluk menjadikan peningkatan konflik sesuatu yang sukar dielakkan.
Abbas Araghchi turut memberi isyarat mengenai kemungkinan pelaksanaan peraturan baharu bagi navigasi melalui Selat Hormuz, laluan minyak paling kritikal dunia, sambil menegaskan bahawa Iran tidak berminat dengan gencatan senjata sementara.
Sebaliknya, beliau mahu penyelesaian peperangan secara kekal demi kestabilan jangka panjang rantau itu.
Kenyataan tegas itu hadir ketika siri serangan udara Amerika-Israel ke atas Iran terus berlanjutan — tindakan yang menurut Abbas Araghchi hanya memburukkan keadaan dan memberi implikasi global.
Beliau mendakwa penglibatan langsung Washington dalam menyokong operasi ketenteraan Israel telah menutup ruang diplomasi dalam jangka pendek.