Skip to main content

Dunia

Indonesia pertimbang kelonggaran terkawal had pengeluaran arang batu, nikel

Sumber: Bahlil Lahadalia
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Bahlil Lahadalia berkata kerajaan terbuka untuk melaraskan rancangan pengeluaran. - Foto FB Bahlil Lahadalia

JAKARTA: Indonesia sedang mempertimbangkan kelonggaran terkawal terhadap had pengeluaran arang batu dan nikel memandangkan harga global kekal kukuh di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di Asia Barat.

Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Bahlil Lahadalia berkata kerajaan terbuka untuk melaraskan rancangan pengeluaran, sambil menegaskan bahawa sebarang perubahan akan diperhalusi dengan teliti selaras dengan keadaan pasaran serta keperluan penawaran dan permintaan.

"Walaupun harga terus kekal stabil, itu adalah baik, kami akan melihat bagaimana untuk melaksanakan kelonggaran, tetapi secara terkawal, terhadap perancangan pengeluaran. Jadi semuanya masih dalam had penyelarasan dengan pasaran, kemudian keperluan penawaran dan permintaan.

"Apa yang penting ialah kami mahu harga kekal baik, kami berharap harga arang batu baik, harga nikel baik, kemudian kami akan melihat bagaimana untuk melaksanakan kelonggaran yang terkawal," katanya, seperti yang dipetik oleh saluran YouTube Sekretariat Presiden.

Bahlil berkata Presiden Prabowo Subianto telah mengarahkan kerajaan untuk mengutamakan kepentingan nasional dan memaksimumkan hasil daripada sektor mineral.

"Sumber asli ini adalah aset negara, dan kita mesti memastikan ia menjana nilai yang adil untuk negara," katanya.

Sebelum ini, Bahlil berkata kerajaan akan mengurangkan pengeluaran arang batu tahun ini kepada sekitar 600 juta tan, iaitu penurunan sebanyak 24 peratus daripada pengeluaran tahun lepas sebanyak 790 juta tan.

Pengeluaran bijih nikel juga telah dihadkan pada 250-260 juta tan, turun daripada 379 juta tan yang digariskan dalam Pelan Kerja dan Belanjawan (RKAB) 2025, menurut Agensi Berita ANTARA.

-- BERNAMA

Must Watch Video