KYIV: Hampir 20 negara menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama berkaitan dron dengan Ukraine, dengan empat perjanjian rasmi telah dimeterai setakat ini, kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, pada Isnin.
Beliau berkata, minat antarabangsa terhadap kepakaran Ukraine dalam teknologi dan peperangan dron semakin meningkat susulan konflik yang berlarutan sejak hujung Februari lalu, serta lawatan diplomatiknya ke beberapa negara di Asia Barat dan Eropah.
“Hampir 20 negara kini terlibat pada pelbagai peringkat. Empat perjanjian telah ditandatangani dan kontrak awal di bawah perjanjian tersebut sedang dalam proses penyediaan,” katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di platform X.
Pada April lalu, Ukraine menandatangani perjanjian pertahanan dan dron dengan Jerman, Norway dan Belanda, susulan kerjasama keselamatan jangka panjang dengan Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu yang dimeterai pada akhir Mac.
Selain itu, Ukraine turut memeterai perjanjian berkaitan pertahanan dan tenaga bersama Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev, pada bulan lalu.
Dalam kenyataan sama, Zelenskyy memaklumkan, Ukraine merancang untuk meluaskan kerjasama keselamatan berkaitan dron ke wilayah lain di dunia, namun tidak memperincikan negara atau rantau terlibat.
Beliau turut berkata, Ukraine telah mula menerima bekalan bahan api dalam jumlah yang diperlukan hasil daripada perjanjian yang dimeterai, tanpa mengulas lanjut butiran berkaitan.
Zelenskyy berharap pendekatan diplomasi berteraskan teknologi dron itu dapat membantu Ukraine menjamin perjanjian bekalan tenaga dengan negara-negara Asia Barat, selain membuka pasaran baharu bagi hasil pertanian negara itu. - Agensi