Skip to main content

Dunia

G7 pertimbang iring kapal di Asia Barat susulan konflik - Pengerusi Perancis

Oil tankers and cargo ships line up in the Strait of Hormuz as seen from Khor Fakkan, United Arab Emirates, Wednesday, March 11, 2026. (AP Photo/Altaf Qadri)
Kerajaan Perancis berkata rancangan untuk mengiringi kapal itu bertujuan memulihkan “kebebasan pelayaran di rantau Asia Barat.” - AP

TOKYO: Kumpulan Tujuh negara perindustrian (G7) pada Rabu bersetuju untuk meneroka kemungkinan mengiringi kapal di Asia Barat apabila keadaan keselamatan mengizinkan, menurut Perancis selaku Pengerusi G7 tahun ini di tengah-tengah konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran, lapor Agensi Berita Kyodo.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas sidang kemuncak dalam talian kumpulan itu, kerajaan Perancis berkata rancangan untuk mengiringi kapal itu bertujuan memulihkan “kebebasan pelayaran di rantau itu.”

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Minoru Kihara berkata dalam sidang media di Tokyo pada Khamis bahawa pengumuman itu dibuat oleh Perancis berdasarkan “keputusan sendiri sebagai pengerusi” dan beliau tidak mengulas lanjut mengenai butirannya.

Jepun mungkin berdepan keputusan sukar sama ada untuk menyertai pengiringan kapal yang dirancang oleh pasukan negara anggota G7, memandangkan negara itu sekian lama mengamalkan dasar pertahanan semata-mata di bawah Perlembagaan yang menolak perang, yang hanya membenarkan penggunaan terhad pertahanan diri kolektif.

“Mengekalkan keamanan dan kestabilan di Asia Barat amat penting bagi Jepun dan kami akan terus bekerjasama rapat dengan negara berkaitan, termasuk anggota G7, serta melakukan segala usaha diplomatik yang perlu ke arah meredakan keadaan secepat mungkin,” menurut Kihara, jurucakap tertinggi Kerajaan Jepun.

Jepun mengimport lebih 90 peratus minyaknya dari Asia Barat, menjadikannya terdedah kepada kesan penutupan Selat Hormuz yang menyekat pengangkutan minyak dan gas dari pembekal rantau itu selepas Amerika Syarikat dan Israel mula menyerang Iran lewat bulan lepas.

--BERNAMA-KYODO

Must Watch Video