Skip to main content

Dunia

Filipina tolak sertai semula Mahkamah Jenayah Antarabangsa

41656981200_FerdinandMarcosJr.jpg
MANILA: Presiden Ferdinand Marcos Jr menegaskan Filipina menolak untuk menyertai semula Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Ini selepas pendakwa raya ICC merancang untuk menyambung semula siasatan ke atas kempen 'perang melawan dadah' kerajaan Filipina sebelum ini.

Filipina menarik diri daripada ICC pada 2019 dengan Presiden Rodrigo Duterte menuduh ICC prejudis apabila mahkamah antarabangsa itu menyiasat ribuan pembunuhan oleh polis.

Menurut Marcos, minggu lalu beliau bertemu dengan pasukan undang-undangnya dan menyatakan Filipina tidak berhasrat menyertai semula ICC.

ICC yang berpangkalan di The Hague menggantung siasatannya pada November atas permintaan Filipina yang mengatakan negara itu akan melaksanakan penyiasatan dan pendakwaannya sendiri.

Menurut peraturan ICC, ia mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat jenayah yang dilakukan semasa negara menjadi ahli.

Tetapi ia hanya jika sistem keadilan jenayahnya tidak mampu atau tidak mahu melakukannya sendiri.

Sebelum kemenangan pilihan rayanya pada Mei, Marcos telah menyatakan beliau tidak akan menyokong siasatan ICC terhadap dakwaan kekejaman di bawah Duterte.




Must Watch Video