Skip to main content

Dunia

EU komited mulakan semula misi awam pantau lintasan sempadan Gaza-Mesir

51698795512_tbVolunteers.jpg
ISTANBUL: Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU) Kaja Kallas menyuarakan kesediaan blok itu untuk "memainkan peranannya" bagi menjayakan pelan gencatan senjata di Gaza, lapor Anadolu Ajansi.

Beliau berkata pada Isnin, EU komited untuk memulakan semula misi awam bagi memantau lintasan sempadan antara Gaza dan Mesir.

"Pelan damai ini memerlukan sokongan antarabangsa yang kuat untuk berjaya. EU bersedia memainkan peranannya. Pada Rabu, ia akan memulakan semula misi awam bagi memantau lintasan sempadan antara Gaza dan Mesir," kata Kallas menerusi hantaran di platform X.

Beliau berkata misi awam itu boleh memainkan peranan penting dalam menyokong gencatan senjata walaupun usaha mewujudkan keamanan di Gaza boleh menjadi "amat rumit."

"Hari ini menandakan detik harapan yang jarang berlaku di Asia Barat. Pembebasan tawanan merupakan kejayaan besar diplomasi dan pencapaian penting ke arah keamanan.

Israel dan Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama pelan 20 perkara yang bertujuan untuk melaksanakan gencatan senjata di Gaza.

Fasa pertama pelan itu telah berkuat kuasa pada Jumaat.

Sejak Okt 2023, serangan Israel telah membunuh lebih 67,600 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sekali gus menjadikan sebahagian besar wilayah itu hampir tidak lagi sesuai untuk didiami.

-- BERNAMA


Must Watch Video