Skip to main content

Dunia

Empat maut dalam kejadian tanah runtuh di tapak pelupusan sampah Bantargebang, Jakarta

EMPAT MAUT DALAM KEJADIAN TANAH RUNTUH DI TAPAK PELUPUSAN SAMPAH BANTARGEBANG JAKARTA
Data awal menunjukkan, 10 orang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Tapak Pemprosesan Sampah Bersepadu Bantargebang di Bekasi, Jawa Barat, pada Ahad, terdiri daripada lima penduduk setempat dan lima pemandu lori sampah. - Foto X Weather Monitor

JAKARTA: Empat individu maut manakala dua lagi terselamat selepas kejadian tanah runtuh melanda Tapak Pemprosesan Sampah Bersepadu (TPST) Bantargebang di Bekasi, Jawa Barat, pada Ahad.

Ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Jakarta, Isnawa Adji berkata insiden itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 petang waktu tempatan ketika deretan lori sampah sedang menunggu giliran untuk memunggah sisa pepejal di tapak pelupusan itu.

"Sewaktu lori-lori berkenaan sedang beratur, kejadian tanah runtuh berlaku secara tiba-tiba dan menghempap lima buah lori sampah serta sebuah gerai berhampiran lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad malam bagi mengemas kini perkembangan insiden itu, menurut agensi berita ANTARA.

Menurut Isnawa, data awal menunjukkan seramai 10 orang tertimbus dalam insiden itu, merangkumi lima penduduk setempat dan lima pemandu lori sampah.

"Setakat ini, empat mangsa ditemukan meninggal dunia manakala dua lagi berjaya diselamatkan," katanya.

Usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan dengan pasukan SAR gabungan mengerahkan kira-kira 20 jentera ekskavator bagi mengesan baki mangsa yang masih hilang.

Menurut pejabat Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Jakarta, pihak berkuasa masih dalam proses mengumpul data memandangkan beberapa lori sampah dan gerai di kawasan itu masih tertimbus di bawah timbunan sisa.

-- BERNAMA

 

 

 

 

Must Watch Video