ISLAMABAD: Israel dilapor telah mengeluarkan nama Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dan Speaker Parlimen, Mohammad Baqer Qalibaf daripada senarai sasaran bunuh atas permintaan Pakistan.
Langkah itu dibuat selepas Islamabad meminta Washington agar tidak menyasarkan kedua-dua pemimpin berkenaan bagi membolehkan saluran rundingan damai kekal terbuka.
Sumber Pakistan yang mempunyai maklumat mengenai perbincangan itu berkata, pihak Israel sebelum ini sudah mempunyai koordinat kedudukan kedua-dua pegawai tinggi terbabit dan merancang untuk melancarkan serangan.
“Kami beritahu Amerika Syarikat (AS) jika mereka turut dihapuskan, maka tiada lagi pihak lain yang boleh dibawa berbincang. Oleh itu, AS meminta Israel supaya berundur,” kata sumber itu kepada Reuters.
Laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang memetik pegawai AS mengesahkan kedua-dua pemimpin itu dikeluarkan daripada senarai sasaran untuk tempoh empat hingga lima hari bagi memberi ruang kepada penerokaan pelan perdamaian.
Walau bagaimanapun, pihak tentera dan Pejabat Luar Pakistan setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas berhubung dakwaan penglibatan mereka dalam rundingan tersebut.
Pakistan bersama Mesir dan Turkiye sedang memainkan peranan sebagai perantara di antara Teheran dan Washington dalam usaha menamatkan perang yang sedang memuncak di Asia Barat.
Sebelum ini, ketegangan di antara Israel dan Iran dilaporkan mencecah tahap paling kritikal dengan beberapa siri serangan menyasarkan pemimpin utama kedua-dua belah pihak, sekali gus mencetuskan kebimbangan konflik serantau yang lebih luas.