Skip to main content

Dunia

[TERKINI] Dua cedera dalam insiden tembakan berhampiran White House

FBI agents stand in a cordoned-off area near the White House after a shooting incident in Washington, D.C., U.S., May 23, 2026. REUTERS/Nathan Howard
Ejen FBI berdiri di kawasan yang dipagar berhampiran White House selepas insiden tembakan di Washington, DC. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Dua individu dilaporkan cedera dalam satu insiden tembakan berhampiran White House, termasuk seorang suspek dan seorang lagi yang dipercayai orang awam, menurut sumber penguat kuasa undang-undang.

Laporan awal menyatakan bahawa seorang individu dipercayai melepaskan tembakan ke arah anggota Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS), namun tidak berjaya mengenai sasaran.

Anggota keselamatan tersebut kemudian membalas tembakan dalam usaha mengawal keadaan.

Pengarah FBI, Kash Patel, berkata Perkhidmatan Rahsia kini sedang bertindak balas terhadap insiden tersebut, sementara siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti butiran sebenar kejadian.

Dalam perkembangan sama, rakaman video yang dikongsi wartawan ABC News, Selina Wang, menunjukkan beliau terpaksa mencari perlindungan ketika beberapa das tembakan kedengaran di kawasan North Lawn, White House.

Insiden itu mencetuskan suasana cemas di kalangan wartawan dan kakitangan yang berada di kawasan tersebut, sebelum mereka diarahkan berpindah ke lokasi yang lebih selamat.

Setakat ini, tahap kecederaan kedua-dua mangsa masih belum diperincikan, dan pihak berkuasa belum mengesahkan sama ada terdapat suspek lain terlibat.

Kawasan sekitar White House yang merupakan zon keselamatan tinggi dikawal ketat oleh pasukan keselamatan, dengan beberapa laluan ditutup bagi memudahkan operasi siasatan.

Pihak berkuasa dijangka akan memberikan maklumat lanjut apabila siasatan di lokasi selesai, sementara langkah keselamatan terus dipertingkatkan bagi memastikan tiada ancaman lanjut.
 

Must Watch Video

Advertisement