Skip to main content

Dunia

China gesa hormati kedaulatan, sokong peranan PBB

81767170375_GempaBumiChina.jpg
China menegaskan, tiada negara berhak untuk menguasai hal ehwal antarabangsa atau menentukan nasib negara lain. - Gambar fail

BEIJING: China menggesa penghormatan terhadap kedaulatan, keselamatan dan integriti wilayah semua negara susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap tindakan unilateral dan penggunaan kekerasan dalam hal ehwal antarabangsa.

Jurucakap bagi sesi keempat Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) ke-14, Lou Qinjian, berkata, negara itu menekankan komitmennya untuk memainkan peranan yang bertanggungjawab sebagai sebuah negara besar, menjunjung prinsip kesaksamaan berdaulat, pematuhan pada undang-undang antarabangsa dan multilateralisme.

“Tiada negara berhak untuk menguasai hal ehwal antarabangsa atau menentukan nasib negara lain," katanya pada sidang media bagi sesi keempat NPC pada Rabu.

Beliau menjawab soalan mengenai ketegangan global baru-baru ini, termasuk tindakan ketenteraan Amerika Syarikat dan Rejim Zionis Israel terhadap Iran serta pergolakan politik di Venezuela.

Lou juga menekankan bahawa kedaulatan, keselamatan dan integriti wilayah Iran mesti dihormati.

Beliau menyeru agar operasi ketenteraan dihentikan serta-merta, pencegahan daripada keadaan menjadi lebih buruk serta penyambungan semula dialog dan rundingan untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di Timur Tengah.

Beliau menekankan kepentingan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan menyatakan bahawa kuasa badan itu mesti dipelihara dan pembaharuan dalam tadbir urus global harus adil dan saksama.

China sedia bekerjasama dengan semua negara untuk menegakkan kuasa dan status PBB dengan tegas, menegakkan tujuan dan prinsip Piagam PBB, mengamalkan multilateralisme sebenar dan menyumbang kepada pembaharuan tadbir urus global," katanya.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video