Skip to main content

Dunia

AS cadang rekod belanjawan pertahanan AS$1.5 trilion, tertinggi dalam sejarah

U.S. President Donald Trump
Presiden Trump mencadangkan rekod belanjawan pertahanan sebanyak AS$1.5 trilion bagi tahun fiskal 2027, sekali gus menjadikannya permintaan tertinggi dalam sejarah AS sambil turut menyeru pengurangan mendadak dalam perbelanjaan domestik.

ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Jumaat mencadangkan rekod belanjawan pertahanan sebanyak AS$1.5 trilion bagi tahun fiskal 2027, sekali gus menjadikannya permintaan tertinggi dalam sejarah AS, sambil turut menyeru pengurangan mendadak dalam perbelanjaan domestik, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut lembaran fakta belanjawan yang dikeluarkan oleh White House menjelang cadangan belanjawan tahunan itu, pelan berkenaan merangkumi AS$1.15 trilion dalam perbelanjaan pertahanan budi bicara serta tambahan AS$350 bilion dalam sumber mandatori, menjadikan jumlah keseluruhan belanjawan pertahanan kepada AS$1.5 trilion.

Pada masa sama, pentadbiran itu memohon pengurangan sebanyak 10 peratus dalam perbelanjaan budi bicara bukan pertahanan, bersamaan kira-kira AS$73 bilion, ketika Trump mengulangi usahanya untuk mengurangkan program domestik sambil meningkatkan perbelanjaan ketenteraan.

Cadangan peningkatan itu dibuat ketika pentadbiran berdepan tekanan politik yang semakin meningkat susulan konflik berterusan dengan Iran.

Walaupun Kongres dijangka tidak meluluskan sepenuhnya kebanyakan cadangan pengurangan perbelanjaan domestik itu, belanjawan berkenaan berkemungkinan membentuk perbahasan fiskal akan datang di Capitol Hill serta menjadi petunjuk penting terhadap keutamaan perbelanjaan pentadbiran menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video