Skip to main content

Dunia

AS arah kakitangan bukan petugas utama supaya keluar dari 6 negara Arab

41730628680_Americanflag.jpg
Jabatan Negara AS turut menggesa rakyat AS di negara itu agar memantau media tempatan serta amaran rasmi AS untuk mendapatkan maklumat terkini. - Gambar fail

ISTANBUL: Jabatan Negara Amerika Syarikat mengarahkan kakitangan bukan petugas utama di perwakilan Amerika Syarikat (AS) di Kuwait, Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain dan Jordan supaya meninggalkan negara mereka bertugas dengan alasan "ancaman konflik bersenjata" dan "kebimbangan keselamatan" susulan konflik ketenteraan dengan Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Jabatan itu turut menggesa rakyat AS di negara itu agar memantau media tempatan serta amaran rasmi AS untuk mendapatkan maklumat terkini.

Terdahulu, Kedutaan Amerika Syarikat di Kuwait pada Selasa memaklumkan yang ia "akan ditutup sehingga diberitahu kelak" susulan ketegangan serantau yang berterusan.

"Kami membatalkan semua janji temu konsular biasa dan kecemasan. Kami akan memaklumkan apabila kedutaan kembali beroperasi seperti biasa," menurut kenyataan kedutaan itu menerusi platform media sosial X.

Dalam nasihat perjalanan bagi Iraq, Kedutaan Amerika Syarikat di Baghdad turut memaklumkan bahawa Jabatan Negara mengarahkan kakitangan bukan petugas utama "meninggalkan Iraq atas faktor keselamatan."

"Oleh kerana kebimbangan keselamatan, kakitangan kerajaan AS di Baghdad dilarang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad," menurut kenyataan itu lagi.

Perkembangan itu berlaku ketika kempen ketenteraan AS-Israel yang dilancarkan terhadap Iran pada Sabtu dilaporkan membunuh beberapa pegawai kanan Iran, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei.

Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta beberapa negara serantau yang menempatkan aset AS.

-- BERNAMA

Must Watch Video