Skip to main content

Dunia

Arab Saudi pertingkat pemeriksaan di Mekah, Madinah pada 10 hari terakhir Ramadan

81583335392_TBMADINAH.jpg
Menjalankan aktiviti hospitaliti tanpa lesen yang sah merupakan satu pelanggaran peraturan yang boleh dikenakan tindakan. - Gambar fail

MEKAH: Kementerian Pelancongan Arab Saudi meneruskan kempen pemeriksaan intensif yang menyasarkan kemudahan hospitaliti serta penyedia perkhidmatan pelancongan di Mekah dan Madinah sepanjang 10 hari terakhir Ramadan.

Agensi Berita Arab Saudi (SPA) melaporkan bahawa usaha itu adalah sebahagian daripada kempen berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan yang ditetapkan oleh peraturan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah.

Pasukan lapangan menjalankan pemeriksaan dan lawatan kesedaran yang merangkumi kemudahan hospitaliti, premis penginapan persendirian, agensi pelancongan dan pengembaraan serta aktiviti pelancongan lain bagi mengesahkan pematuhan terhadap keperluan pelesenan serta piawaian kualiti dan keselamatan.

Kementerian itu menegaskan bahawa menjalankan aktiviti hospitaliti tanpa lesen yang sah merupakan satu pelanggaran peraturan yang boleh dikenakan denda sehingga SAR1 juta, penutupan premis, atau kedua-duanya sekali.

Ia juga menegaskan kesediaannya untuk menerima pertanyaan dan maklum balas pengunjung mengenai perkhidmatan pelancongan melalui pusat panggilan pelancongan bersepadu 930, yang beroperasi sepanjang masa setiap hari dalam seminggu.

-- BERNAMA-SPA

Must Watch Video